SIMPANG RENGGAM – Calon Pakatan Harapan DUN N27 Layang-Layang, Guna Balakrishnan berjanji tidak akan hilang jika diberi mandat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.
Beliau berkata, sepanjang berkempen, banyak aduan diterima daripada penduduk antaranya jalan rosak dan masalah liputan internet.
“Saya turun sendiri ke lapangan dan dengar macam-macam.
“Mereka tidak minta bangunan pencakar langit, mereka cuma nak hidup dengan lebih tenang, lebih selamat, anak-anak ada masa depan dan Layang-Layang terus membangun seperti kawasan yang lain,” katanya dalam ucapan Grand Finale DUN Layang-Layang.
Beliau berkata, antara masalah yang sentiasa didengar adalah sama dan sekiranya diberi kepercayaan, beliau akan segera menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
Ini kerana menurut beliau, masalah-masalah yang dihadapi penduduk sejak sekian lama menyebabkan ramai anak-anak muda terpaksa merantau untuk mencari rezeki di tepat lain.
“Jika esok saudara-saudari beri saya amanah, saya cuma nak bagi tahu satu komitmen, saya takkan hilang lepas menang.
“Saya takkan muncul lima tahun sekali semata-mata untuk minta undi,” katanya lagi.
Guna Balakrishnan bakal bersaing dengan penyandang terdahulu, Abd Mutalip Abd Rahim yang kini mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dan calon BN, Chua Jian Boon.
Kawasan separa luar bandar yang terletak di bawah Parlimen P.151 Simpang Renggam ini merekodkan jumlah keseluruhan 25,181 pengundi berdaftar, mengikut data wartaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat Mei 2026.
Komposisi dinamik pemilih di DUN ini merangkumi 55 peratus pengundi Melayu, 30 peratus Cina, 13 peratus India dan selebihnya adalah lain-lain kaum, meletakkan sokongan rentas etnik sebagai kunci utama kemenangan bagi mana-mana calon. – MalaysiaGazette















