JOHOR BAHRU – Kira-kira 15 minit sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirainya, semua parti kini memasuki fasa terakhir dengan tumpuan beralih kepada operasi hari mengundi dan usaha membawa seramai mungkin penyokong keluar mengundi esok.
Walaupun Barisan Nasional (BN) masih dilihat mempunyai sedikit kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri, pemerhatian sepanjang tempoh kempen menunjukkan persaingan kali ini lebih terbuka di beberapa kerusi campuran dan separa bandar berbanding PRN Johor 2022.
Berbanding pilihan raya lalu yang menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), landskap kali ini turut dipengaruhi oleh keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Juga prestasi kerajaan negeri sepanjang hampir empat tahun, sentimen terhadap Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan serta kemunculan beberapa calon muda yang berjaya menarik perhatian pengundi.
Daripada pemerhatian di lapangan, BN masih mengekalkan kelebihan menerusi kekuatan jentera akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar, Felda dan kubu tradisi UMNO.
Kehadiran jentera yang konsisten serta rangkaian cawangan yang luas dilihat terus menjadi antara aset utama gabungan itu, terutama apabila memasuki fasa operasi hari mengundi.
Pada masa sama, Pakatan Harapan (PH) pula cuba memanfaatkan prestasi Kerajaan Madani, isu ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan serta pendekatan kempen yang lebih dekat dengan pengundi muda menerusi dialog, walkabout dan kempen digital.
Malah di beberapa kawasan sasaran, momentum PH dilihat semakin meningkat pada minggu terakhir kempen.
Perikatan Nasional (PN) pula meneruskan pendekatan menyerang isu kos sara hidup, integriti dan kebajikan rakyat, selain berharap dapat mengekalkan momentum sokongan Melayu yang diperoleh pada PRU15 di beberapa kawasan tertentu.
Walaupun tidak dilihat mencetuskan gelombang besar, PN masih berpotensi menjadi pencabar utama di beberapa kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Berdasarkan gabungan faktor keputusan pilihan raya lalu, pola pengundian, kekuatan jentera, profil calon serta perkembangan kempen semasa, BN masih diunjurkan muncul sebagai gabungan terbesar dengan sekitar 28 hingga 31 kerusi.
PH pula berpotensi memperoleh antara 18 hingga 23 kerusi, khususnya jika berjaya mengekalkan sokongan di kawasan bandar serta meningkatkan prestasi di beberapa kerusi sasaran seperti Bukit Batu, Pemanis, Puteri Wangsa, Kempas dan Bukit Naning, selain mempertahankan kubu sedia ada.
PN pula dijangka mampu memenangi sekitar lima hingga enam kerusi, dengan peluang lebih cerah di kawasan seperti Maharani, Sungai Balang dan Semerah, selain beberapa kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan pertembungan sengit sesama gabungan utama.
Namun begitu, beberapa DUN dijangka menjadi medan penentu keputusan keseluruhan.
Antaranya Bukit Batu, Parit Yaani, Tangkak, Bukit Kepong, Maharani, Pemanis, Puteri Wangsa dan Kempas, yang dilihat mempunyai jurang sokongan semakin rapat berdasarkan momentum kempen di peringkat akar umbi.
Keputusan di kerusi-kerusi ini berpotensi menentukan sama ada BN mampu mengekalkan majoriti selesa atau PH dan PN berjaya mengurangkan jurang.
Pemerhati politik turut berpandangan kadar keluar mengundi akan menjadi faktor paling kritikal. Jika peratusan keluar mengundi berada sekitar 70 hingga 73 peratus, kelebihan dijangka memihak kepada parti yang memiliki operasi Get Out The Vote (GOTV) paling berkesan.
Sebaliknya, kadar keluar mengundi yang lebih tinggi, terutama dalam kalangan pengundi muda dan pengundi luar yang pulang ke Johor, berpotensi mengubah keputusan di beberapa kerusi marginal.
Selain itu, kempen kali ini memperlihatkan perubahan pendekatan semua parti.
Berbanding ceramah mega yang mendominasi pilihan raya lalu, kempen lebih tertumpu kepada pertemuan secara kecil-kecilan, ziarah rumah ke rumah, dialog komuniti dan penggunaan media sosial bagi mendekati pengundi secara lebih langsung.
Ramai penganalisis melihat pendekatan ini lebih berkesan dalam mempengaruhi pengundi atas pagar.
Satu lagi faktor yang diperhatikan ialah kecenderungan pengundi untuk menilai isu setempat berbanding retorik politik nasional.
Di banyak kawasan, persoalan mengenai peluang pekerjaan, kos sara hidup, banjir, kemudahan asas, pembangunan tempatan dan kebolehcapaian wakil rakyat lebih kerap dibangkitkan sepanjang tempoh kempen berbanding isu-isu politik yang bersifat nasional.
Menjelang tamatnya tempoh berkempen malam ini, perhatian turut tertumpu kepada pergerakan trafik menuju ke Johor. Walaupun tiada pengesahan rasmi peningkatan aliran kenderaan berkait secara langsung dengan kepulangan pengundi, ada pandangan keadaan itu boleh menjadi petunjuk awal sebahagian pengundi luar mula pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka esok.
Gambaran lebih jelas dijangka dapat dilihat menjelang tengah hari hari pengundian menerusi kadar keluar mengundi di seluruh negeri.
Secara keseluruhannya, tiada petunjuk jelas berlakunya gelombang besar yang memihak kepada mana-mana gabungan.
Sebaliknya, keputusan PRN Johor kali ini lebih berkemungkinan ditentukan oleh ayunan kecil (micro swing) sekitar dua hingga lima peratus di kerusi-kerusi marginal.
Perubahan kecil itu sudah memadai untuk mengubah pemenang di beberapa DUN dan akhirnya menentukan corak keputusan keseluruhan pilihan raya negeri kali ini. -MalaysiaGazette
















