Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar

ALOR GAJAH – Bapa kepada pelajar yang mengejar tiga rakannya menggunakan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di Durian Tunggal di sini, Khamis lalu membuat laporan polis mendakwa anaknya menjadi mangsa buli sebelum kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, laporan itu dibuat pengadu berusia 45 tahun pada pukul 6.24 petang semalam untuk membela nasib anaknya itu berusia 13 tahun.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, pekerja kilang itu mendakwa anaknya dibuli oleh tiga rakan sekolah sehingga bertindak di luar kawalan ketika kejadian kira-kira pukul 2.50 petang di dewan sekolah berkenaan.

“Susulan laporan yang diterima itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan kes buli.

“Siasatan akan diteruskan secara menyeluruh sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di sini semalam.

Menurutnya, polis memohon orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi menjaga sensitiviti semua pihak.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, difahamkan ibu bapa kepada tiga pelajar lelaki yang dikejar itu, iaitu dua berusia 14 tahun dan seorang 13 tahun juga akan membuat laporan polis.

“Namun, sehingga kini (petang semalam) pihak polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mereka,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu bertindak mengejar tiga rakannya menggunakan pisau pemotong kertas selepas dipercayai dibuli dengan cara dibaling ais berulang kali.

Kejadian berlaku ketika Program Penghargaan Kehadiran Murid di dewan sekolah berkenaan yang turut dirakamkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sekolah.

Dalam kejadian itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas seorang guru berjaya memujuk pelajar terbabit menyerahkan pisau yang dipegangnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast