Fifi Nur Khairin dan Arif Fahmi menunjukkan jari masing-masing selepas selesai mengundi di SK LKTP Sungai Sayong, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Tidak pernah merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh hari yang sama pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Fifi Nur Khairin Tamrin, 24, berkata, dia dan suami, Arif Fahmi Nor Azli, 28, sudah menetapkan tarikh ijab kabul pada Ogos tahun lalu dan tidak pernah menyangka akan bertembung dengan tarikh mengundi yang ditetapkan hari ini.

Kehadirannya pasangan tersebut di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong di sini sekitar pada pukul 10 pagi mencuri perhatian ramai.

“Kami tidak menyangka hari bahagia ini akan bertembung dengan hari pengundian PRN Johor. Walaupun majlis perkahwinan berlangsung saya dan suami tetap tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Johor.

“Mulanya memang sedih juga sebab takut tidak dapat teruskan majlis tetapi kami buat keputusan untuk teruskan sahaja perancangan.

“Memang kelam-kabut sikit sebab selepas nikah, kami ambil gambar ringkas dan terus datang sini untuk mengundi. Yang penting, sebagai rakyat kita kena tunaikan tanggungjawab dan pilih pemimpin yang betul,” kata Arif Fahmi ketika ditemui.

Dia bagaimanapun menyifatkan pertembungan luar biasa itu sebagai satu memori unik yang akan dikenang sepanjang hayat.

“Memang malu juga sebab semua orang tengok tetapi bagi saya bukan selalu. Inilah momen bersejarah. Sampai tua pun saya akan ingat hari ini.

“Saya bangga sebab dapat tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun pada hari perkahwinan sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast