KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) komited untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pembangkang supaya segala dasar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dipantau secara lebih rapat dan konsisten agar kualiti hidup rakyat dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat majmuk, bukan hanya di Johor Bahru.
Pengarah Pilihan Raya Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, denyut nadi rakyat tidak akan dipandang mudah tetapi menjadi garis ukur dalam merencana langkah ke hadapan.
Katanya, suara rakyat Johor akan mendorong PH untuk menjalankan tanggungjawab di dalam Dewan Negeri Johor dengan penuh berwibawa dan integriti untuk menyuarakan permasalahan rakyat dan menawarkan solusi kepada isu-isu asas yang masih belum diselesaikan.
“Tambahan kepada itu, keputusan orang Johor turut menggesa anggota dan petugas PH Johor untuk mengukuhkan lagi usaha, gerak kerja, serta mendekati lebih ramai orang Johor sebagai persiapan Pilihan Raya Umum Ke-16 serta warga Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 yang bakal berlangsung,” katanya menerusi satu kenyataan, malam ini.
Menerusi kenyataan tersebut, Amirudin turut menyampaikan penghargaan PH kepada seluruh rakyat Johor yang sempurna melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 yang berlangsung hari ini.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa calon-calon Pakatan Harapan telah dipilih di XX kerusi meskipun berdepan dengan beberapa cabaran sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















