Makkal Sakti sebahagian ‘Friends of BN’ ucap tahniah kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan rakyat memilih kesinambungan pentadbiran yang stabil serta memberi mandat jelas kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Menurut Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran, keputusan memihak kepada BN itu mencerminkan keyakinan pengundi terhadap kepimpinan gabungan berkenaan yang disifatkan mempunyai pengalaman, rekod pentadbiran serta hala tuju yang jelas dalam memacu pembangunan Johor.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menurutnya berjaya memimpin seluruh jentera parti sehingga mencatat kemenangan dengan majoriti yang memberangsangkan.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan politik tetapi merupakan manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil, berpengalaman dan berwawasan.

“Mandat yang diberikan pengundi menunjukkan rakyat mahukan kesinambungan dasar, kestabilan politik serta sebuah kerajaan yang mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Datuk Seri RS Thanenthiran bersama Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Thanenthiran berkata, keputusan PRN itu juga memperlihatkan rakyat membuat pilihan berdasarkan prestasi dan keupayaan sesebuah kerajaan melaksanakan tanggungjawab khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi, penyediaan peluang pekerjaan, pelaburan serta kebajikan rakyat.

Beliau berkata, kestabilan politik yang diwujudkan menerusi kemenangan tersebut penting bagi memastikan Johor terus menjadi antara negeri utama yang menarik pelaburan domestik dan asing, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri kini memikul tanggungjawab besar untuk menterjemahkan kepercayaan rakyat kepada dasar dan tindakan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Dalam pada itu, Thanenthiran berkata, semua pihak kini perlu menghormati keputusan yang telah dibuat dan bersama-sama memainkan peranan membangunkan negeri demi kepentingan generasi akan datang.

“Sudah tiba masanya semua pihak melihat ke hadapan dan berganding bahu demi kemajuan Johor. Keutamaan kini adalah memastikan mandat rakyat diterjemahkan kepada pentadbiran yang cekap, inklusif dan berkesan,” katanya lagi.

Pada PRN Johor kali ini, BN berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai kerajaan negeri dengan memperoleh kemenangan besar, membolehkan pentadbiran negeri diteruskan di bawah pimpinan Onn Hafiz.

Keputusan itu turut dilihat sebagai antara pencapaian terbaik gabungan tersebut dalam sejarah pilihan raya negeri Johor. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast