KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyifatkan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa malam tadi hadir dengan satu tanggungjawab yang amat besar.
Kekal sebagai satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat yang memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Simpang Renggam itu berkata, ia bukan satu kebanggaan untuk dimegahkan tetapi sebuah manifestasi kepercayaan yang harus dijunjung dengan penuh insaf.
“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Pertama, kepada pimpinan, sahabat seperjuangan dan rakan-rakan.
“Penghargaan setinggi-tingginya saya tujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Saudari Nurul Izzah, YBTM Fuziah Salleh, Datuk Seri Wan Azizah, Datuk Seri Fahmi Fadzil, YB Jimmy Puah, YB David Cheong, YB Pua Pei Ling, dan YB Datuk Syed Hussin Hafiz.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga buat YBM Datuk Mustapha Sakmud, YBM Datuk Jamawi Jaafar, YB William Leong, Dr. Sathia, YB George Gunarajan, YBTM Sim Tze Sin, Saudara Aidi @ Ijoy, Ustaz Rafidi, dan Saudara Azran.
“Tidak dilupakan juga buat seluruh kepimpinan akar umbi dan jentera sokongan; Ketua Cabang Bangi, Ketua Cabang Tebrau, Ketua Cabang Pasir Gudang, Ketua Cabang Kota Melaka dan pasukan, Ketua Cabang Bachok dan pasukan, Cikgu Wan Azlan, Cikgu Zaini, Ustaz Mahmod, serta sokongan padu daripada rakan-rakan hebat Team Keadilan Selangor dan Team Keadilan Sarawak.
“Sokongan, bimbingan dan kepercayaan kalian adalah kekuatan saya di sepanjang kempen ini,” tulis di Facebook hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut memberi penghargaan kepada wira di sebalik tabir di mana kejayaan hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa keringat pasukan media.
“Kalian adalah arkitek di sebalik jentera digital saya. Terima kasih kerana tanpa jemu merangka strategi kempen digital, menguruskan media sosial dengan penuh cemerlang dan memastikan setiap mesej dan naratif perjuangan kita sampai ke setiap skrin telefon bimbit dan sanubari rakyat.
“Ketiga, kepada jentera, keluarga, dan para pengundi. Ucapan terima kasih ini saya panjangkan kepada seluruh jentera pilihan raya, tidak kira jentera tempatan mahupun jentera luar yang sanggup turun dari jauh, berkampung dan bekerja keras dari awal kempen bermula sehinggalah ke garisan penamat. Tenaga kalian tidak ternilai harganya.
“Buat isteri tercinta dan seluruh ahli keluarga, terima kasih atas doa yang tidak pernah putus, pengorbanan masa dan kesabaran yang luar biasa dalam mendepani onak duri perjuangan ini bersama-sama saya.
“Akhir sekali, penghargaan paling istimewa buat seluruh para pengundi DUN Puteri Wangsa. Terima kasih kerana menitipkan kepercayaan dan meletakkan amanah sebesar ini di atas bahu saya.
“Suka untuk saya renungkan bersama kata-kata Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali. Apabila beliau ditanya, “Apakah benda yang paling berat di dunia ini?
“Beliau menjawab, “Yang paling berat di dunia ini bukanlah gunung atau besi tetapi yang paling berat adalah amanah.
“Kemenangan ini adalah amanah yang sangat berat. Saya memohon doa daripada kalian semua, agar saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memikul amanah ini, membela nasib rakyat Puteri Wangsa dan membawa suara Keadilan di bumi Johor dengan sebaik-baiknya,” tulisnya. – MalaysiaGazette
















