JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan hati yang terbuka dan penuh rasa tanggungjawab.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menghormati keputusan yang sudah dibuat oleh rakyat.
“Tahniah kepada semua calon yang diberi mandat dan sekalung tahniah juga kepada Dr Maszlee Malik atas kemenangan yang diraih.
“Bagi Keadilan Johor, kami akan terus memainkan peranan secara konstruktif sebagai suara rakyat, mempertahankan prinsip demokrasi serta memperjuangkan kepentingan semua lapisan masyarakat,” ujar Pengerusi PKR Johor itu dalam Facebook miliknya hari ini.
PKR bertanding 20 kerusi dalam PRN Johor ke-16 dan hanya menang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Maszlee memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 5,738 undi selepas berjaya meraih keseluruhan 41,694 undi.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Simpang Renggam berjaya mengetepikan pencabar dari Barisan Nasional, Teow Chia Ling yang memperoleh undi 35,956, calon Muda, Rashifah Al Junied (5,821), calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,389) dan calon bebas, Wang Wee Szoang (238).- MalaysiaGazette
















