Mayat mangsa ditemukan pagi ini kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

MELAKA – Mayat lelaki yang dilaporkan terjatuh ke Sungai Melaka berhampiran Yayasan Toh Puan Zurina tengah malam Sabtu lalu ditemukan pagi ini kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa, lelaki berusia 45 tahun, ditemukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kira-kira pukul 9 pagi di kawasan berhampiran Jambatan Taman Rumpun Bahagia.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II) Mohammad Hafidzatullah Rashid berkata, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM yang menjalankan operasi telah membawa naik mangsa.

“Mayat mangsa ditemukan berhampiran Jambatan Taman Rumpun Bahagia, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula sejurus selepas mangsa dilaporkan terjatuh pada pukul 12.03 tengah malam Sabtu melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dengan bantuan BBP Masjid Tanah.

Operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air serta selaman oleh anggota PPDA di sepanjang Sungai Melaka hingga ke muara, namun mangsa gagal ditemukan pada hari pertama.

Susulan keadaan persekitaran yang gelap dan faktor keselamatan, operasi SAR ditangguhkan pada malam Ahad sebelum disambung semula pagi ini dengan kawasan pencarian diperkecilkan berdasarkan penilaian serta maklumat di lokasi kejadian.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Melaka berhampiran Yayasan Toh Puan Zurina sebelum orang awam menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

Operasi SAR membabitkan JBPM, PDRM dan Pasukan Polis Marin. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast