PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan pembebasannya hari ini sebagai penutup kepada episod paling mencabar dalam hidupnya selepas melalui proses siasatan dan perbicaraan selama enam tahun.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu beliau memilih untuk berdepan setiap proses mengikut lunas undang-undang tanpa sesekali mencari jalan pintas atau meninggalkan negara, kerana berpegang teguh kepada prinsip ‘berani kerana benar’.
“Saya berpegang kepada satu prinsip sejak hari pertama, iaitu berani kerana benar.
“Saya tidak pernah lari, tidak pernah mengambil jalan pintas dan tidak pernah meninggalkan negara walaupun melalui pelbagai ujian sepanjang enam tahun ini,” katanya kepada media di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini.
Menurut Syed Saddiq, keputusan itu bukan sekadar memberi kelegaan kepada dirinya, malah mengukuhkan keyakinannya bahawa kebebasan institusi kehakiman perlu terus dipertahankan.
Katanya, institusi kehakiman yang bebas dan adil merupakan benteng terakhir rakyat untuk mendapatkan keadilan apabila berdepan sebarang ketidakadilan.
“Hari ini mengingatkan kita semua mengapa kebebasan institusi kehakiman perlu dipertahankan.
“Inilah tempat terakhir rakyat biasa mencari keadilan. Jika institusi ini lemah, maka negara juga akan menjadi lemah,” ujarnya.
Dalam nada penuh emosi, Syed Saddiq berkata, tempoh enam tahun itu bukan sahaja menguji dirinya, malah memberi kesan kepada kedua-dua ibu bapanya, ahli keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang tidak pernah berhenti memberikan semangat.
Beliau mengakui sebelum keputusan Mahkamah Rayuan yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan hari ini, beliau masih memikul status sebagai seorang yang telah disabitkan bersalah.
“Saya tahu ramai mungkin terlupa, tetapi sebelum keputusan hari ini saya masih berstatus pesalah.
“Sebab itu saya amat menghargai semua yang terus percaya dan bersama saya sehingga ke hari ini,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya, ahli keluarga serta tunangnya, Bella Astillah, yang tidak pernah berganjak walaupun beliau berdepan tekanan sepanjang proses perundangan itu.
Syed Saddiq turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang disifatkannya membuat liputan secara adil sepanjang kes berkenaan.
Mengulas langkah selepas ini, beliau berkata, fokusnya adalah untuk terus menabur bakti kepada rakyat dan negara, selain berharap tiada mana-mana individu perlu melalui pengalaman pahit sepertinya.
“Saya berharap dapat terus berkhidmat kepada negara. Apa yang saya lalui biarlah menjadi pengalaman saya seorang.
“Saya juga tidak mahu sesiapa, termasuk musuh politik saya sekali pun, melalui pengalaman yang sama,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk semua pihak bersatu demi kepentingan negara.
“Kita boleh berbeza pandangan politik, tetapi akhirnya kita semua rakyat Malaysia. Yang lebih penting ialah bagaimana kita membina masa depan negara bersama-sama,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















