Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini memiliki autonomi penuh untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan yang telah diluluskan, sekali gus dijangka mempercepatkan pengisian kekosongan tenaga kerja kesihatan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, mandat yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 9 Julai lalu merupakan antara langkah penting kerajaan dalam menangani isu kekurangan doktor serta ketidakseimbangan penempatan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan.

“Melalui langkah ini, insya-Allah masalah maldistribusi dan kekurangan doktor di fasiliti-fasiliti tertentu dapat dikurangkan secara berfasa,” katanya ketika menjawab isu yang dibangkitkan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil beberapa langkah jangka panjang termasuk menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak pada tahun ini, selain penubuhan Pasukan Petugas Pengurusan Perjawatan KKM yang diketuai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi menyelaras isu berkaitan tenaga kerja kesihatan.

Menurutnya, KKM juga telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menubuhkan jawatankuasa bersama untuk memastikan bekalan tenaga kerja kesihatan memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.

Dalam usaha menangani kekurangan doktor di kawasan tertentu, KKM turut mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang menerima lantikan tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak atau Labuan menerusi penambahbaikan sistem ePlacement bermula tahun lalu.

Selain itu, tempoh menunggu penempatan bagi program latihan siswazah perubatan turut dipendekkan kepada dua bulan berbanding lebih 10 bulan sebelum ini, manakala pegawai yang berpindah ke lokasi baharu layak menerima pelbagai tuntutan perpindahan berkuat kuasa 22 Jun lalu.

Mengulas cadangan memperluaskan pengiktirafan universiti perubatan di China, Dzulkefly berkata, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kini membuka ruang kepada institusi luar negara untuk memohon pengiktirafan mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Sehingga kini, lapan universiti dari China telah mengemukakan permohonan pengiktirafan, antaranya Zhejiang University School of Medicine, dan permohonan tersebut sedang melalui proses penilaian MMC,” katanya.

Beliau turut memaklumkan nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia bertambah baik daripada seorang doktor bagi setiap 482 penduduk pada 2019 kepada seorang doktor bagi setiap 403 penduduk pada 2024, manakala di Sarawak nisbah itu meningkat daripada 1:682 kepada 1:590 dalam tempoh sama.

Bagi Sarawak, jumlah pakar perubatan dan pegawai perubatan KKM meningkat daripada 2,492 orang pada 2023 kepada 3,581 orang ketika ini, iaitu pertambahan seramai 1,089 pegawai dalam tempoh dua tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast