Logo dan maskot rasmi Sukan SEA Ke-34 serta Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 yang dilancarkan pada majlis pelancaran di IOI City Mall, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 Julai 2026.

PUTRAJAYA – Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 yang akan berlangsung di negara ini, tahun depan mengangkat ‘Tuah’ sebagai maskot dan identiti rasmi temasya dwi-tahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari berkata, singkatan T-U-A-H yang merupakan akronim daripada perkataan Togetherness (kebersamaan); Unity (perpaduan); Aspiration (aspirasi); dan Harmony (harmoni) menjadi asas kepada penamaan maskot rasmi temasya berkenaan.

Jelas beliau, nama Tuah dipilih kerana membawa makna kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang dicapai menerusi usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan serta perpaduan.

Manakala pemilihan tema Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027, ‘Raikan Perpaduan’ atau ‘Celebrating Unity’ menjadi tunjang identiti Malaysia bagi mencerminkan perpaduan sebagai kekuatan utama Malaysia dan negara-negara ASEAN.

“Kita hendak jadikan Malaysia ini satu platform, jambatan perpaduan antara semua negara-negara dalam ASEAN dan kita mahu menghantar satu mesej yang begitu jelas iaitu mesej perpaduan kepada dunia secara keseluruhannya.

“Semoga maskot ini membawa tuah kepada negara kita,” katanya semasa melancarkan logo, maskot dan tema rasmi temasya itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan,  di IOI City Mall, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Taufiq, rekaan logo rasmi temasya sukan itu berteraskan aspirasi Malaysia menyatukan ASEAN melalui semangat kesukanan dengan elemen yang menggambarkan identiti visual moden, dinamik dan mudah dikenali di peringkat antarabangsa.

“Logo yang direka melambangkan dinamisme, kepelbagaian budaya dan keharmonian rakyat di Asia Tenggara yang diadun dengan identiti Malaysia yang progresif.

“Manakala maskot bukan sekadar identiti visual tetapi turut melambangkan keberanian, semangat kesukanan yang dinamik, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara progresif dan berteraskan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 berkata, maskot Tuah diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mudah didekati, sekali gus melambangkan generasi baharu Malaysia yang berani menghadapi cabaran, positif, berdaya saing serta menghargai kepelbagaian sebagai kekuatan.

Peluncuran identiti rasmi itu menandakan permulaan perjalanan Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara, dengan Sukan SEA dijadual berlangsung pada 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN akan diadakan pada 17 hingga 23 Oktober 2027 secara inklusif, mampan dan bertaraf antarabangsa. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast