Saravanan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

KUALA LUMPUR – Pensijilan Halal Malaysia yang diterima India Gate Restaurant dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan rangkaian restoran makanan India premium itu apabila syarikat menyasarkan peningkatan jualan sehingga 40 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang susulan pertambahan keyakinan pengguna, khususnya pelanggan Muslim.

Pengasas dan Pengurus India Gate Restaurant, Saravanan Subramaniam berkata, pensijilan itu bukan sahaja membuka peluang untuk menarik lebih ramai pelanggan malah memperkukuh keyakinan pengguna terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kualiti hidangan yang ditawarkan.

Katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini, usaha mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia bermula sejak dua tahun lalu menerusi pembangunan dapur pusat sebagai langkah memenuhi keperluan pensijilan sebelum diperluaskan ke cawangan restoran.

“Prosesnya bermula dengan mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia bagi dapur pusat terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke setiap cawangan.

“Selepas dapur pusat berjaya memperoleh sijil halal, cawangan pertama kami di Kelana Jaya turut menerima Pensijilan Halal Malaysia. Ini merupakan satu perkembangan yang amat besar buat India Gate Restaurant,” katanya.

Menurut beliau, India Gate kini mempunyai 15 cawangan di seluruh negara dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan pelbagai kaum, termasuk masyarakat Melayu Islam yang semakin menggemari hidangan autentik India.

Saravanan berkata, proses mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia bukan sesuatu yang mudah memandangkan India Gate menawarkan lebih 147 menu autentik India yang memerlukan pematuhan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP), termasuk aspek penyediaan makanan, pengurusan bahan mentah dan operasi harian.

Katanya, kejayaan memperoleh pensijilan itu adalah hasil komitmen seluruh pasukan halal syarikat yang membabitkan kakitangan operasi, chef, pengurusan ibu pejabat dan semua warga kerja bagi memastikan setiap aspek operasi mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Sebelum melalui proses ini, saya beranggapan pensijilan halal lebih tertumpu kepada tuntutan agama. Namun selepas memahaminya dengan lebih mendalam, saya melihat sebahagian besar keperluannya memberi penekanan kepada aspek kebersihan, sanitasi dan keselamatan makanan.

“Sebagai pengusaha restoran, tanggungjawab kami adalah memastikan setiap hidangan yang disajikan sentiasa bersih, selamat dan berkualiti.

Beliau berkata, pensijilan itu turut mewujudkan sistem pemantauan yang lebih sistematik apabila sebuah pasukan halal khas ditubuhkan bagi memantau kebersihan dapur, pengurusan bahan mentah serta pematuhan SOP setiap hari.

Menurutnya, Pensijilan Halal Malaysia bukan sekadar diperoleh sekali sebaliknya perlu dipelihara secara berterusan menerusi audit dalaman, pemeriksaan berkala dan proses pembaharuan sijil mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Kami menjangkakan jualan boleh meningkat antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang hasil keyakinan pengguna terhadap status halal restoran kami, khususnya pelanggan Muslim,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai pengusaha restoran makanan India tampil mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia selepas memahami manfaatnya yang bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan, malah membantu memperkukuh pengurusan operasi serta standard kebersihan premis.

“Saya berharap lebih ramai pengusaha restoran India memohon Pensijilan Halal Malaysia. Apabila mereka memahami kelebihannya, mereka akan melihat bahawa pensijilan halal bukan hanya memenuhi keperluan pelanggan Muslim, malah membantu meningkatkan kualiti operasi, kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Pada Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan India Gate mencipta sejarah apabila menjadi restoran makanan India premium pertama di Malaysia menerima sijil halal selepas dapur pusat dan cawangan pertamanya di Kelana Jaya memenuhi syarat pensijilan yang ditetapkan JAKIM. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

India Gate restoran fine dining India pertama terima sijil halal JAKIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast