KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand memberi limpahan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan tempatan serta komuniti di kawasan sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan zon ekonomi itu merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan wilayah negara bagi memastikan kawasan di utara Semenanjung tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan yang sebelum ini lebih tertumpu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, pembangunan tersebut melibatkan kawasan strategik seperti Bukit Kayu Hitam, Sadao, Rantau Panjang, Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech Park dan Perlis Inland Port yang akan memperkukuh rangkaian perdagangan Malaysia dengan Thailand serta negara-negara Indochina.
“Kita sasarkan peningkatan perdagangan Malaysia-Thailand yang mempunyai potensi besar tetapi belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Melalui persefahaman baharu dengan Thailand, produk pertanian dan perikanan Malaysia kini mendapat kelonggaran untuk melepasi sekatan kastam ke Laos, Kemboja dan Vietnam,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai manfaat ekonomi pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand serta mekanisme bagi memastikan perusahaan kecil dan komuniti setempat turut menikmati manfaatnya.
Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan Perlis Inland Port yang bakal menjadi hab logistik utama dengan kapasiti awal 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), selain pembinaan jambatan Rantau Panjang-Tok Panjang bernilai RM45 juta.
Menurut beliau, kerajaan turut mencadangkan pembangunan kawasan sekitar Tok Panjang sebagai pusat perdagangan, perniagaan dan perusahaan kecil, khususnya membabitkan masyarakat Melayu Bumiputera, selain disokong oleh projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan cadangan penyambungan rangkaian kereta api Malaysia-Thailand.
“Bukan sahaja projek besar diberi perhatian, tetapi perusahaan kecil dan sederhana serta peniaga kecil juga mesti mendapat manfaat daripada peningkatan kegiatan ekonomi ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan, Anwar berkata, pembangunan Zon Ekonomi Sempadan akan diselaraskan dengan pengukuhan rangkaian pengangkutan pelbagai mod yang melibatkan jalan raya, kereta api, pelabuhan dan sektor pelancongan bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Katanya, usaha itu turut melengkapi agenda ASEAN termasuk pembangunan ASEAN Power Grid yang menghubungkan Vietnam, Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, selain kerjasama memperluaskan penggunaan pelabuhan di Thailand, Pulau Pinang dan Perlis Inland Port.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak mahu kawasan sempadan terus tersisih daripada arus pembangunan negara, justeru pembangunan infrastruktur akan digabungkan dengan pelaksanaan program pendidikan, latihan kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan meneruskan inisiatif Power Up 10K dengan kelulusan pembiayaan sehingga Jun 2026 sebanyak RM400 juta kepada usahawan dan koperasi di Kelantan, RM287 juta di Kedah serta RM45 juta di Perlis bagi memastikan PKS dan usahawan tempatan, khususnya Bumiputera, tidak tercicir daripada manfaat pembangunan zon ekonomi berkenaan.
Terdahulu, Adnan turut membangkitkan keperluan mengimbangi usaha mempercepatkan perdagangan rentas sempadan dengan aspek keselamatan bagi mengekang penyeludupan dadah, barangan dan jenayah rentas sempadan.
Bagaimanapun, Anwar dalam jawapannya menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh kesalinghubungan infrastruktur, memperluas peluang ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan sampai kepada komuniti di kawasan sempadan. – MalaysiaGazette
















