KUALA LUMPUR – Pas menegaskan parti itu akan terus berusaha mencapai matlamat politiknya tanpa “menjaringkan gol sendiri” dengan bergabung bersama pihak lawan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perubahan strategi, barisan pemain mahupun jurulatih adalah perkara biasa untuk mencapai kemenangan.
“Ada yang kata Pas selalu tukar tiang gol. Hakikatnya Pas tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan dan tidak akan sama sekali menjaringkan gol sendiri.
“Dalam proses menjaringkan gol itulah, strategi, pemain bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ahmad Fadhli berkata, Pas akan terus bergerak mencapai sasaran politiknya selagi “90 minit” perjuangan belum berakhir.
“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat menjaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan.
“Pasukan PAS tidak akan bergabung dengan pasukan lawan untuk menjaringkan gol sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai medan seterusnya untuk Pas membuktikan pendirian dan kekuatan parti itu.
“Liga berikutnya di Negeri Sembilan akan menyaksikan Pas mengotakan janji ini,” katanya.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komponen itu tidak mempunyai sebarang perjanjian rasmi dengan Pas, sebaliknya hanya wujud persefahaman dalam perkara-perkara tertentu.
Sehubungan itu, katanya, dakwaan kononnya wujud perjanjian antara kedua-dua pihak adalah tidak tepat kerana tiada sebarang persetujuan rasmi pernah dimeterai.
“Kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas. Kalau ada perbincangan pun sekadar understanding atau persefahaman.
“Kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu. Kita lihatlah perkembangannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026.
Ahmad Zahid berkata, pengalaman sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyebabkan BN mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan Pas. – MalaysiaGazette
















