Wu Huanni tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib anaknya yang kini terjerat dengan sindiket pekerjaan di Myanmar.

GEORGE TOWN – Seorang ibu merayu agar anak lelakinya yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan sebelum diperdagangkan ke Myanmar diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.

Wu Huanni, 56, berkata, anaknya, Lim Yin Chong, 29, sebelum ini bekerja dalam industri perabot namun terpaksa bercuti selama sebulan selepas terbabit dalam kemalangan.

Katanya, ketika tidak mempunyai pendapatan, anaknya mencari peluang pekerjaan di Thailand melalui seorang rakan dalam industri sama tanpa mengetahui tawaran itu sebenarnya adalah perangkap.

“Anak saya memaklumkan mendapat tawaran pekerjaan sebagai pemandu di Chiang Mai, Thailand, namun sebaik tiba di Bangkok, dia menghubungi teman wanitanya dan memaklumkan dia dibawa menaiki kereta ke arah Mae Sot di sempadan Thailand-Myanmar.

“Apabila menyedari sesuatu tidak kena, dia cuba melarikan diri dengan terjun dari kenderaan tetapi dihalang beberapa lelaki bermotosikal yang mengacukan senjata api sebelum membawanya masuk ke Myanmar.

“Apabila tiba di sana, dia mendakwa dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan selain dipukul kerana gagal mencapai sasaran kerja yang ditetapkan oleh sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini ketika ditemui di Biro aduan pejabat Parti Bersama Malaysia.

Wu Huanni menunjukkan laporan polis yang dibuat pihaknya berhubung anaknya.

Huanni berkata, sepanjang berada di Myanmar, keluarganya beberapa kali dihubungi individu yang menuntut wang tebusan bermula sebanyak AS$22,000 sebelum dikurangkan secara berperingkat sehingga AS$200.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak pernah diberikan sebarang maklumat mengenai cara pembayaran wang tebusan itu.

“Disebabkan keluarga tidak mampu membayar wang berkenaan, anak saya dipaksa menandatangani kontrak untuk bekerja selama setahun dengan sindiket terbabit.

“Kali terakhir kami berhubung dengan dia pagi tadi melalui Messenger dan dia memaklumkan hendak pergi kerja.

“Kami juga telah membuat laporan polis pada 5 Julai lalu dan turut mendapatkan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pusat khidmat wakil rakyat, dengan harapan anak saya dibawa pulang segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast