SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat di persimpangan Bandar Seri Cendana dekat sini pagi tadi.
Wan Mohd Shamsury Wan Samsudin, 48, disahkan meninggal dunia dalam kejadian pada 8.40 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kereta berkenaan, yang dipandu seorang wanita berumur lingkungan 20-an, dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum membelok ke kanan dan memasuki laluan motosikal.
“Motosikal yang sedang bergerak lurus ketika itu telah melanggar bahagian sisi kiri kereta tersebut. Penunggang motosikal yang terjatuh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat manakala pemandu kereta yang cedera turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan individu yang mempunyai rakaman berhubung kejadian diminta tampil menyerahkan rakaman bagi membantu siasatan,” katanya. – BERNAMA
















