Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA PILAH – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mencetuskan ketidakstabilan politik sama ada ketika diberi mandat mentadbir di peringkat negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, kata Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sebaliknya PH sentiasa memberi keutamaan kepada kestabilan pentadbiran kerana ia menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Naib Presiden Keadilan itu, rekod pentadbiran PH membuktikan kerajaan yang stabil mampu meningkatkan peluang pekerjaan, memperkukuh ekonomi negeri dan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan untuk rakyat.

“Kita tidak pernah mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan yang diamanahkan kepada kita, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.

”Sebaliknya kita berusaha memastikan pentadbiran berjalan dengan baik demi kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam tadi.

Beliau berkata, Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang stabil kerana kestabilan politik merupakan faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur serta memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan.

Katanya, peningkatan pelaburan, pertambahan peluang pekerjaan dan pelaksanaan pelbagai program kebajikan sepanjang pentadbiran PH menjadi bukti bahawa kestabilan politik memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Pada masa sama, Amirudin mendakwa terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kekeliruan kecil berkaitan urusan adat bagi mencetuskan polemik politik menjelang PRN Negeri Sembilan.

“Tindakan seperti itu tidak bermaruah kerana cuba mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang berlaku semata-mata untuk meraih keuntungan politik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat kini lebih bijak menilai prestasi sesebuah kerajaan berbanding terpengaruh dengan percaturan politik yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.

Sehubungan itu, Amirudin menyeru seluruh pimpinan, jentera, aktivis dan penyokong PH supaya terus bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan Negeri Sembilan kekal ditadbir PH.

Beliau turut memaklumkan gerak kerja kempen akan dipergiatkan sebaik selesai penamaan calon, manakala manifesto PH bagi PRN Negeri Sembilan akan diumumkan dalam masa terdekat sebagai tawaran kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast