KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memastikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak digunakan untuk menyekat pengkritik kerajaan, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sehubungan itu, ahli Parlimen Machang itu mencadangkan agar pelantikan Pengerusi MCMC disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menjamin kebebasan badan pengawal selia itu.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang berkaitan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Dewan Rakyat, beliau berkata, Malaysia perlu menjadi “ladang demokrasi yang segar” dan bukannya negara yang menggunakan instrumen penguatkuasaan untuk membungkam suara rakyat.
Menurutnya, antara penambahbaikan yang perlu dipertimbangkan ialah mewajibkan setiap arahan Menteri kepada MCMC dibentangkan di Parlimen dalam tempoh tertentu bagi memastikan wujudnya semak dan imbang.
“Selain itu, tribunal rayuan bebas perlu diwujudkan bagi membolehkan rakyat mencabar keputusan MCMC, khususnya dalam kes melibatkan sekatan kandungan atau tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar MCMC menerbitkan laporan ketelusan tahunan yang memperincikan jumlah arahan sekatan kandungan, permintaan penghapusan kandungan dan tindakan penguatkuasaan mengikut kategori.
“Kita mahu tahu berapa kes melibatkan politik, berapa yang berkaitan ancaman kepada keharmonian kaum dan kategori lain. Rakyat berhak mengetahui skop sebenar tindakan MCMC,” tegasnya.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, kebelakangan ini MCMC dilihat terlalu memberi tumpuan kepada isu politik kepartian sehingga menimbulkan persoalan mengenai peranan sebenar suruhanjaya itu.
Beliau turut menegaskan, media tidak sepatutnya dianggap sebagai musuh kerajaan, sebaliknya berperanan sebagai cermin kepada pentadbiran negara.
“Saya bersetuju dengan cadangan supaya pelantikan Pengerusi MCMC ditapis dan dipersetujui Jawatankuasa Khas Parlimen. Ini penting bagi memastikan badan itu benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.
Pada masa sama, beliau merujuk laporan berkaitan ‘Government Removal Request’ di platform TikTok yang didakwa menunjukkan jumlah permohonan daripada Malaysia antara yang tertinggi berbanding beberapa negara lain termasuk Australia.
“Ini amat memalukan. Saya tidak faham mengapa kerajaan dilihat begitu bimbang dengan suara rakyat di TikTok,” katanya.
Mengakhiri perbahasannya, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan perlu menerima kritikan secara terbuka dan tidak bertindak mengekang kebebasan bersuara.
“Media adalah cermin kepada kerajaan. Apabila sesebuah kerajaan lebih sibuk memecahkan cermin daripada membaiki wajahnya, akhirnya yang hilang bukan sahaja kepercayaan rakyat, tetapi juga legitimasi pemerintah,” kata beliau. – MalaysiaGazette
















