SEREMBAN – Isu membabitkan institusi Undang di Negeri Sembilan bukan berada di bawah bidang kuasa menteri besar, namun ia terus dijadikan modal politik bagi membentuk persepsi kononnya kerajaan negeri gagal menangani perkara berkenaan.
Menurut sumber itu, terdapat tanggapan yang sengaja dibina bahawa menteri besar perlu campur tangan bagi menyelesaikan polemik berkaitan institusi Undang, sedangkan perkara tersebut tertakluk kepada Adat Perpatih serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Siapa pun yang menjadi menteri besar selepas pilihan raya, peranannya dalam soal adat tetap sama. Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk menentukan atau campur tangan dalam urusan institusi Undang.
“Begitu juga perkara berkaitan pelantikan, penggantian atau apa-apa proses yang melibatkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Semua itu mempunyai mekanisme dan institusinya sendiri. Ia tidak berada di bawah kuasa menteri besar,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Sumber itu mengulas isu berkenaan kerana ia masih menjadi antara bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila terdapat pihak mendakwa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun gagal menyelesaikan polemik berkaitan institusi adat.
Tambahnya, kerajaan negeri sejak awal mengambil pendekatan berlandaskan undang-undang dengan mendapatkan nasihat penasihat undang-undang negeri, selain merujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum mengambil sebarang tindakan.
Katanya, tindakan itu dibuat bagi memastikan setiap keputusan mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tanpa menjejaskan kedudukan institusi adat yang mempunyai bidang kuasa tersendiri.
“Kerajaan negeri bertindak mengikut saluran yang betul. Kita tidak boleh bertindak semata-mata kerana desakan politik atau persepsi awam.
“Kalau kerajaan bertindak di luar bidang kuasa, itu juga akan mengundang persoalan dari sudut undang-undang. Sebab itu kita menghormati proses yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mendakwa keadaan menjadi semakin rumit apabila terdapat campur tangan pihak-pihak yang tidak berkaitan sehingga isu berkenaan terus diperdebatkan secara terbuka di media sosial.
Menurutnya, keadaan itu akhirnya memberi gambaran seolah-olah menteri besar mempunyai kuasa mutlak untuk menyelesaikan isu tersebut, sedangkan hakikatnya terdapat had bidang kuasa yang perlu dihormati.
“Apabila orang politik sendiri masuk campur dan isu ini terus dimainkan di media sosial, ia menjadi semakin panas. Akhirnya timbul persepsi bahawa menteri besar tidak berfungsi atau sengaja tidak mahu menyelesaikan masalah.
“Itulah naratif yang cuba dibina, sedangkan ada perkara yang memang tidak boleh dicampuri oleh kerajaan negeri kerana ia melibatkan institusi adat,” katanya lagi.
Beliau turut mendakwa terdapat usaha mengaitkan polemik itu dengan DAP bagi memburukkan imej kerajaan negeri walaupun perkara tersebut tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan parti berkenaan.
“Saya melihat naratif yang dibawa bukan lagi mengenai penyelesaian isu adat, tetapi cuba mengaitkannya dengan DAP dan Pakatan Harapan untuk memberi gambaran negatif kepada rakyat.
“Sedangkan isu institusi Undang mempunyai prosesnya sendiri dan tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik,” katanya.
Mengulas kempen PRN, beliau berkata Pakatan Harapan memilih untuk tidak menjadikan isu adat sebagai bahan ceramah kerana percaya perkara itu perlu diselesaikan oleh institusi yang diberi tanggungjawab mengikut adat serta peruntukan undang-undang.
Sebaliknya, beliau berharap kempen pilihan raya lebih memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat seperti peluang pekerjaan, pelaburan, pembangunan negeri, pendidikan, kemudahan awam serta kos sara hidup.
Sebelum ini, ada penganalisis politik berpandangan polemik membabitkan institusi adat sememangnya menjadi antara naratif yang mewarnai landskap politik Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, mereka berpendapat pengundi akhirnya akan membuat pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor termasuk prestasi pentadbiran, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain isu-isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen. – MalaysiaGazette















