TOKYO – Ancaman beruang yang telah mengorbankan nyawa di Jepun terus menghantui penduduk negara ini.
Terbaharu, sebuah keluarga di utara Jepun terpaksa menghubungi polis selepas menemui seekor beruang berada di dalam dapur rumah mereka.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, sekurang-kurangnya lima individu terbunuh akibat diserang beruang sejak 1 April lalu, semuanya di wilayah Tohoku di utara negara itu, selepas rekod 13 serangan maut dicatatkan di seluruh Jepun sepanjang tahun lalu.
Polis di wilayah Iwate, yang terletak di Tohoku, menerima panggilan pada petang Isnin daripada sebuah keluarga yang memaklumkan seekor beruang telah menceroboh masuk ke rumah mereka.
Haiwan itu dilaporkan membuka peti sejuk dan menyelerakkan makanan di sekitarnya, menurut seorang pegawai polis.
Jejak kaki menunjukkan beruang itu kemudiannya keluar melalui pintu belakang berhampiran dapur sebelum menggeledah tong sampah untuk mencari sisa makanan.
Kejadian itu berlaku di bandar Shizukuishi, yang mana sekurang-kurangnya empat lagi isi rumah melaporkan pencerobohan beruang sejak 5 Julai lalu.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, jumlah penampakan beruang meningkat selepas haiwan itu keluar daripada tempoh hibernasi, dengan semakin banyak beruang memasuki kawasan bandar dan penempatan penduduk.
Pada Jun lalu, puluhan anggota polis, pemburu dan pegawai bandar mengambil masa selama empat hari untuk menangkap seekor beruang yang berkeliaran di Utsunomiya, utara Tokyo, sehingga memaksa penutupan sekolah secara besar-besaran.
Sebelum itu, seekor lagi beruang yang disifatkan sebagai “sangat pintar” kerana mampu membuka tingkap dan menghidupkan pili air, menyerang empat individu di dua kilang di Fukushima dan bebas selama beberapa hari.
Saintis berpendapat peningkatan mendadak insiden beruang itu berpunca daripada pertambahan populasi haiwan berkenaan, pengurangan penduduk di kawasan luar bandar serta faktor lain termasuk perubahan dalam bekalan sumber makanan semula jadi beruang. – Agensi
















