PETALING JAYA – Sidang media Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini bertukar gamat apabila anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu secara spontan bersorak ‘tetap lawan’ selepas diajukan soalan mengenai kemungkinan calon Bersatu bertembung dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Muhyiddin yang pada mulanya dilihat berhati-hati menjawab soalan itu hanya tersenyum sebelum sorakan ‘lawan, tetap lawan’ bergema dalam dewan, diiringi tepukan serta ketukan meja oleh beberapa anggota MPT Bersatu.
Selepas suasana kembali reda, beliau mengakui kemungkinan berlaku pertembungan antara Bersatu dan Pas tidak boleh diketepikan berikutan tiada sebarang mesyuarat diadakan bagi memuktamadkan pembahagian kerusi.
“Tiada mesyuarat diadakan. Jadi, mungkin kita akan bertembung,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu di sini, malam ini.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan Bersatu tidak pernah menginginkan pertandingan sesama sendiri dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kalau berlaku pertembungan, kita akan lawan. Kita tidak suka PN lawan PN, tetapi keputusan itu Pas yang buat,” ujarnya.
Beliau berkata, Bersatu bukan membantah sebarang bentuk kerjasama politik, namun tindakan berunding dengan mana-mana parti di luar PN tidak boleh dibuat secara sebelah pihak.
“Kita ini Perikatan Nasional. Kita ada ideologi dan prinsip perjuangan. Tidak ada agenda untuk berbincang dengan BN, tiba-tiba ada rundingan kemudian buat keputusan.
“Kita semua sahabat dalam gabungan. Ini bukan perkara kecil,” jelas beliau lagi.
Muhyiddin berkata, jika terdapat cadangan untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN), perkara itu sepatutnya dibawa ke meja rundingan terlebih dahulu bagi membolehkan semua parti komponen menyatakan pendirian.
Menurutnya, setiap keputusan perlu dibuat secara musyawarah dengan mengambil kira skop dan tujuan kerjasama, bukannya diputuskan secara unilateral.
Beliau berkata, pengalaman pembahagian kerusi pada pilihan raya sebelum ini membuktikan sebarang perbezaan dapat diselesaikan menerusi perbincangan.
Namun situasi kali ini berbeza apabila Bersatu mendakwa tidak diberi ruang untuk terlibat dalam proses berkenaan.
Katanya, Bersatu tetap akan mempertahankan prinsip gabungan, namun pada masa sama tidak akan berundur sekiranya berlaku pertembungan di kerusi yang diputuskan untuk ditandingi parti itu. – MalaysiaGazette
















