Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan negara berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dalam menghadapi fenomena El-Nino, dengan pelbagai langkah mitigasi dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran agromakanan dan bekalan makanan negara kekal terjamin.

Sehingga 14 Julai lalu, negara mempunyai stok dagangan beras sebanyak 1.25 juta tan metrik termasuk stok penimbal 200,000 tan metrik yang mampu menampung keperluan beras negara selama 6.2 bulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian sentiasa memantau risiko ketidaktentuan cuaca yang boleh menjejaskan hasil pertanian serta mengancam tahap keterjaminan makanan negara.

Menurut beliau, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah memastikan bekalan air pengairan mencukupi menerusi pemantauan paras air empangan dan kawasan tadahan, pengurusan sumber air bersepadu serta penggunaan teknologi pintar seperti Sistem Pemantauan Pengairan Pintar dan Sistem Pengairan Titis (TITIS).

“KPKM turut memperkukuh infrastruktur pengairan melalui projek naik taraf sistem saliran, pembinaan takungan air dan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu yang meminta KPKM menyatakan langkah-langkah persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara, khususnya daripada segi bekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan, penternakan serta langkah memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, bagi sektor pengeluaran padi dan tanaman makanan, kementerian mengoptimumkan penggunaan sumber air menerusi penjadualan pengairan secara berperingkat, selain memperkenalkan kaedah pengurusan air yang lebih mampan seperti kaedah pengairan basah dan kering berselang (AWD), sistem intensifikasi padi (SRI) dan kaedah saliran pertengahan musim (MSD).

Pada masa sama katanya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus mempergiat penyelidikan bagi menghasilkan varieti padi yang lebih tahan kemarau dan perubahan iklim termasuk MR380, MR381 dan MR382.

Selain itu, Operasi Pembenihan Awan akan dilaksanakan di kawasan kritikal yang mengalami cuaca panas melampau dan kekurangan sumber air, khususnya di kawasan jelapang padi dan pengeluaran makanan utama.

Dalam sektor penternakan pula, KPKM menggalakkan penggunaan Pertanian Persekitaran Terkawal seperti reban ayam tertutup serta menyediakan bantuan kepada penternak yang terjejas akibat bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP).

“Bagi menjamin bekalan makanan negara terus mencukupi, kementerian turut memperkasa Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), meningkatkan penggunaan teknologi pertanian pintar iklim, memperkukuh sektor perikanan dan industri ruminan serta membangunkan industri jagung bijian secara berskala besar sehingga 2040,” ujarnya.

Menurut Mohamad, pembangunan industri jagung bijian disasarkan mencapai pengeluaran 1.25 juta tan metrik menjelang 2040, bersamaan 30 peratus daripada keperluan makanan ternakan negara.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif itu diyakini mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta fenomena El-Nino. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast