Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dijangka menerima laporan lengkap siasatan insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun, Kedah  yang meragut nyawa dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 23 Julai ini.

Ia selepas proses siasatan diperluaskan dengan memanggil semula beberapa saksi dan mendapatkan keterangan baharu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima laporan awal daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai lalu namun semakan lanjut oleh Markas Tentera Darat mendapati masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum siasatan dimuktamadkan.

Menurut beliau, terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi selain kemungkinan mendapatkan keterangan daripada saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan.

“Siasatan penuh masih belum dimuktamadkan. Justeru, ketika ini adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian sebelum siasatan dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung punca insiden letupan bom tangan ketika latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta langkah segera kementerian bagi memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan.

Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut selepas berlaku letupan bom tangan ketika menjalani latihan peningkatan tempur di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.57 pagi itu, Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah Sungip dan Allahyarham Sarjan Nor Azmi Abu Bakar mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, berdasarkan prosedur TDM, Markas Tentera Darat diperuntukkan tempoh antara empat hingga lapan minggu untuk menyiapkan laporan siasatan bergantung kepada tahap kerumitan kes dan semakan balas yang diperlukan.

Tempoh itu penting bagi memastikan semua aspek teknikal, prosedur serta keterangan saksi diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Bagaimanapun, disebabkan kes ini mendapat perhatian serius, kementerian telah menggesa supaya siasatan dan penyediaan laporan disegerakan,” katanya.

Sebagai langkah segera selepas kejadian, beliau memaklumkan, TDM telah melaksanakan pemeriksaan khas secara menyeluruh ke atas semua baki grenad dalam pegangan 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (SKN RAJD) bagi memastikan tiada kerosakan atau kecacatan.

Pada masa sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman turut mengarahkan semua latihan membaling grenad dihentikan sementara sehingga siasatan selesai.

Bagi mengelak insiden sama berulang, Mohamed Khaled berkata, TDM akan melaksanakan beberapa penambahbaikan keselamatan berdasarkan syor Lembaga Siasatan.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk pemasangan kamera litar tertutup di kawasan lapang sasar, penggunaan kamera badan untuk pemantauan latihan serta penambahbaikan ruang penglihatan dan cermin pemerhati di Menara Kawalan.

Selain itu, TDM turut mencadangkan penggunaan Eco-Friendly Training Hand Grenade (EFTHG) bagi latihan kering yang menyerupai grenad sebenar untuk memberi pendedahan awal kepada anggota sebelum menggunakan grenad hidup.

“Langkah lain termasuk mewujudkan casting policy bagi peluru dan bahan letupan untuk menetapkan jangka hayat penggunaannya serta memastikan bahan yang mencapai tempoh tertentu menjalani pemeriksaan khas secara berkala.

“Setiap pasukan juga akan memastikan penilaian kesihatan fizikal dan kesediaan mental pegawai serta anggota dibuat sebelum menyertai latihan, khususnya mereka yang mempunyai rekod kesihatan yang memerlukan pemantauan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast