KUALA LUMPUR – Tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perlombongan emas tanpa lesen di Kelantan diperluas kepada dalang, pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera atau mana-mana pihak yang bersubahat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh sekiranya pihak terbabit disabitkan dengan kesalahan.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan mana-mana pihak yang masih menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau kelulusan yang sah untuk menghentikan operasi mereka, serta-merta.
“Pada 13 Julai lalu, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan mengetuai satu operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Gua Musang dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti perlombongan emas yang disyaki dijalankan secara haram.
“Hasil operasi berkenaan, tiga orang warga asing ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
“Pasukan penguatkuasa turut merampas pelbagai jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan termasuk jengkaut dan lori serta jentolak dengan nilai rampasan RM4.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta pemanggilan saksi bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, selepas siasatan selesai, tindakan pendakwaan akan diteruskan terhadap semua pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan.
Kerajaan negeri juga menurut beliau akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama PTG, PDRM, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perlombongan haram sehingga ke akar umbi.
Semalam, media melaporkan PTG merampas tujuh jentera berat bernilai lebih RM4 juta selepas melakukan serbuan di kawasan perlombongan haram di Gua Musang, Isnin lalu.
Mohamed Fadzli berkata, Kelantan sentiasa memandang serius kegiatan perlombongan emas secara haram yang masih berlaku di negeri itu kerana ia menjejaskan pengurusan sumber mineral negeri, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil yang menjadi hak kerajaan negeri.
Katanya, aktiviti berkenaan adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan tidak akan sesekali dikompromi. -MalaysiaGazette
















