Bekas Exco Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek (kiri) manakala Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil.

SEREMBAN – Menjelang pengumuman rasmi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan menjadi antara kerusi yang paling mencuri perhatian.

Difahamkan pemilihan calon Pas dikatakan masih menjadi perbincangan di peringkat parti.

Menurut sumber kepada MalaysiaGazette, masih wujud perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan dan akar umbi berhubung calon yang perlu diberikan kepercayaan untuk membawa cabaran PN di kerusi berkenaan.

Difahamkan, sebahagian pihak berpandangan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil lebih layak diberikan peluang memandangkan beliau merupakan pemimpin yang telah lama bersama Pas serta aktif menggerakkan parti.

Bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang mahu kepimpinan mempertimbangkan pengalaman serta kekuatan bekas Exco Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek yang dilihat mempunyai daya saing lebih tinggi di Ampangan.

Sumber berkata, keputusan itu bukan sekadar membabitkan soal pemilihan calon, sebaliknya turut menyentuh sentimen akar umbi yang mahu jasa dan kesetiaan mereka kepada parti diberi pengiktirafan.

“Ramai yang merasakan sudah bertahun-tahun bekerja dalam parti tetapi apabila tiba musim pilihan raya, nama lain pula diberi keutamaan. Sebab itu timbul pelbagai pandangan di peringkat akar umbi,” kata sumber.

Menurut sumber lagi, nama Muhammad Irsyaduddin menjadi pilihan sebahagian akar umbi kerana beliau dianggap sebagai pemimpin yang dibesarkan dalam Pas manakala Rafie pula dilihat mempunyai kelebihan daripada sudut pengalaman pentadbiran serta pengaruh politik di Ampangan.

Rafie bukan nama asing dalam politik Negeri Sembilan kerana pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dan memegang portfolio Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan ketika bersama PKR.

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2023 selepas tidak dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri sebelum mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Ampangan.

Pada PRN 2023, calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman memenangi kerusi itu dengan 6,054 undi, menewaskan calon Bersatu, Muhammad Ghazali Zainal Abidin yang memperoleh 5,725 undi manakala Rafie sebagai calon Bebas meraih 3,079 undi. Majoriti kemenangan PH hanyalah 329 undi.

Majoriti yang kecil itu menjadikan Ampangan antara kerusi marginal di Negeri Sembilan, sekali gus menyebabkan pemilihan calon dilihat memainkan peranan penting dalam menentukan peluang setiap gabungan pada PRN kali ini.

Landskap politik di Ampangan juga berubah berbanding pilihan raya lalu apabila Barisan Nasional (BN) yang tidak meletakkan calon pada 2023, kini mempunyai persefahaman politik dengan Pas, dijangka memberi dimensi baharu kepada persaingan di kerusi berkenaan.

PH mempertaruhkan Pengerusi Yayasan Negeri Sembilan, Datuk Nazri Aziz bagi mempertahankan kerusi Ampangan sebelum ini disandang Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Beliau dilihat antara calon berprofil tinggi PH berdasarkan penglibatannya dalam pembangunan pendidikan, kebajikan serta modal insan menerusi Yayasan Negeri Sembilan.

Pengumuman malam ini dijangka bukan sahaja menamatkan teka-teki mengenai siapa bakal dipilih.

Malah menjadi penentu sama ada kepimpinan parti memilih untuk mempertaruhkan pengalaman atau memberi keutamaan kepada pemimpin yang telah lama membina kekuatan parti di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast