Ahmad Samsuri Mokhtar

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, malam ini.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) apabila melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi DUN.

“Malam tadi kita menyaksikan Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hasan), Pengerusi BN Negeri Sembilan yang sebut dalam pengisytiharan calon BN, BN akan ada persefahaman dengan ‘rakan’ untuk berdepan dalam PRN Negeri Sembilan ini.

“Malam ini ‘rakan itu’ akan mengisytiharkan calon, yang disebut rakan yang baik untuk memulakan langkah ini,” katanya pada majlis pengisytiharan calon PN di sini, malam ini.

Semalam, BN hanya mengumumkan 25 calon parti itu yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Mohamad berkata, tindakan hanya mengumumkan hanya 25 kerusi ditandingi parti gabungan itu kerana persefahaman dibuat dengan ‘rakan politik’ yang boleh dipercayai.

Sementara itu, pengumuman Ahmad Samsuri itu menyaksikan Pas akan bertanding di lima kerusi, Wawasan empat manakala Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masing-masing satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, turut hadir pada majlis pengumuman calon PN adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Namun tiada kelibat pemimpin utama Bersatu yang hadir pada majlis tersebut. ⁠- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast