Kenyataan Timbalan Ketua DAPSY Melaka, Danny Sim Yong Seng mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi DAPSY Kota Melaka yang tidak pernah dibincangkan, dimaklumkan, dirujuk atau mendapat persetujuan daripada kepimpinan DAPSY Negeri Melaka.

MELAKA – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka menegaskan kenyataan kontroversi mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem oleh DAPSY Kota Melaka bukan pendirian rasmi organisasi itu malah tidak pernah dirujuk kepada kepimpinan negeri.

Timbalan Ketua DAPSY Melaka, Danny Sim Yong Seng berkata, hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi DAPSY Kota Melaka itu tidak pernah dibincangkan, dimaklumkan, dirujuk atau mendapat persetujuan daripada kepimpinan DAPSY Negeri Melaka.

Menurutnya, penggunaan istilah “DAPSY Melaka” dalam beberapa laporan media turut menimbulkan tanggapan bahawa kenyataan itu mewakili pendirian rasmi seluruh DAPSY Negeri sekali gus menjejaskan imej DAP Melaka dan DAPSY Negeri Melaka.

“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dimaklumkan, dirujuk atau mendapat persetujuan daripada kepimpinan DAPSY Negeri Melaka.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa segala kenyataan, kontroversi dan implikasi yang timbul berkaitan isu tersebut adalah tanggungjawab DAPSY Kota Melaka.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada penasihat DAPSY Kota Melaka, Najib Rebu, Lee Zhi Peng, serta Ketua DAPSY Kota Melaka Krisnaraj Punaiya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, DAPSY Kota Melaka mencetuskan kontroversi selepas memuat naik hantaran mengkritik Mohd Noor Helmy berhubung isu banjir di Duyong.

Namun tindakan itu mengundang reaksi balas apabila ramai pengguna media sosial yang menggunakan nama Cina mempertahankan rekod perkhidmatan ADUN Duyong berkenaan, malah disifatkan lebih baik daripada wakil rakyat DAP di DUN itu sebelum ini.

Mengulas lanjut, DAPSY Negeri Melaka turut menggesa organisasi media menggunakan tajuk dan kandungan yang tepat dan tidak mengelirukan rakyat sehingga memberikan imej tidak baik kepada DAP keseluruhannya.

“Beberapa laporan media termasuk tajuk utama yang diterbitkan oleh beberapa media sosial arus perdana menggunakan istilah “DAPSY Melaka” sekali gus memberi gambaran kenyataan tersebut mewakili pendirian rasmi keseluruhan DAPSY Negeri Melaka.

“Keadaan ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta memberi kesan kepada imej DAP Melaka dan DAPSY Negeri Melaka malah politik seharusnya menyatukan masyarakat, bukannya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan penyokong,” katanya.

Tegasnya lagi, DAPSY Negeri Melaka menolak sebarang tindakan menghukum atau menyerang mana-mana pihak tanpa terlebih dahulu menyelidik fakta sebenar.

“Malaysia tidak memerlukan kenyataan yang mengapi-apikan sentimen, mencetuskan perpecahan atau menggugat keharmonian antara kaum.

“Sebagai pemimpin belia, kami percaya bahawa politik anak muda harus dipandu oleh idealisme, rasa hormat, kematangan dan tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast