Salmah menunjukkan gambar anaknya, Shahir, 45, yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.

GEORGE TOWN – “Hidup atau mati, saya serah kepada Allah. Saya cuma berharap dapat jumpa dia… macam mana keadaan sekali pun”.

Itu luahan pilu Salmah Shamsudin, 72, yang masih menaruh harapan agar anak bongsunya daripada dua beradik, Shahir Zainul, 45, ditemukan selepas lebih sebulan dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.

Salmah berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan di kawasan dusun durian Jabatan Pertanian di Lebuh Bukit Jambul hari ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya, dia mengakui terkilan kerana pencarian hanya dilakukan selepas tempoh yang agak lama.

“Rasa lega juga bila operasi dibuat hari ini tapi rasa macam sedikit terlambat. Kalau dari awal mungkin masih ada harapan.

“Dah sebulan lebih, macam-macam bermain dalam fikiran mak cik. Mudah-mudahan macam mana pun, harap dia ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi SAR hari ini.

Menurutnya, penemuan motosikal dan topi keledar milik anaknya di kawasan berkenaan menguatkan lagi naluri seorang ibu bahawa Shahir mungkin masih berada di situ.

“Motosikal dia ada di sini, helmet (topi keledar) dia pun ada. Sebab itu makcik rasa kuat dia ada di kawasan ini.

“Mungkin dia bersembunyi atau mungkin ada salah faham dengan orang. Tak tahulah, kita tak boleh fikir lebih-lebih. Apa yang penting, mak cik cuma nak tahu apa yang berlaku kepada dia,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia dan ahli keluarga tidak pernah bermimpi mengenai kehilangan Shahir namun mereka tidak putus-putus mengadakan solat hajat dan berdoa agar anaknya ditemukan.

“Dua anak dia pun masih menunggu kepulangan bapa mereka walaupun tidak menunjukkan kesedihan secara terbuka.

“Mereka tak mahu cakap sangat pasal abah mereka. Barang-barang semua mereka suruh simpan sebab mereka percaya abah akan balik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak Shahir bantu SAR jejak lokasi bapa hilang

Shahir hilang lebih sebulan, polis giat kesan mangsa

Media terdahulu melaporkan penemuan sebuah motosikal dan topi keledar milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu menjadi petunjuk utama kepada pasukan penyelamat untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan dusun durian di Lebuh Bukit Jambul di sini, hari ini.

Operasi yang bermula kira-kira 10.30 pagi itu membabitkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya selepas lokasi berkenaan dipercayai menjadi petunjuk terakhir kehilangan Shahir Zainul, 45.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya mengaktifkan operasi SAR selepas menerima permintaan daripada polis bagi membantu mengesan lelaki terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast