SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) yakin rekod pentadbiran dan perkhidmatan yang dibuktikan sepanjang mentadbir Negeri Sembilan menjadi kekuatan utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan yakin rakyat mampu membuat penilaian secara matang terhadap prestasi kerajaan negeri.
“Kami Pakatan Harapan menawarkan perkhidmatan yang telah kami buktikan. Itu yang kami tawarkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Aminuddin mengiringi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Kariah Pantai, di sini, tengah hari tadi.
Aminuddin juga berkata, apa juga strategi yang digunakan pihak lawan tidak akan mengubah fokus PH yang mahu menawarkan kesinambungan pentadbiran serta perkhidmatan kepada rakyat.
“Apa juga strategi boleh dilaksanakan, tetapi bagi saya kematangan pengundi itu penting dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Aminuddin berkata lagi, beliau percaya pengundi akan membuat keputusan berdasarkan pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbiran PH.
“PH yakin pengundi dan rakyat Negeri Sembilan bukannya dipengaruhi sentimen politik semata-mata dalam membuat pertimbangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















