GEORGE TOWN – “Walaupun hanya lihat jasad, sekurang-kurangnya saya tahu dia di mana dan Allah sudah tentukan ajalnya”.
Itu luahan penuh reda seorang ibu, Salmah Shamsudin, 72, ketika hadir menuntut jenazah anak bongsunya, Shahir Zainul, 46, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Salmah mengakui hatinya kini lebih tenang kerana penantian sejak 10 Jun lalu akhirnya terjawab apabila dia dapat menatap jasad anaknya buat kali terakhir walaupun bukan seperti yang diharapkan.
Katanya, dia reda kerana sekurang-kurangnya kini mengetahui nasib Shahir dan tidak lagi tertanya-tanya keberadaannya.
“Dulu saya tak tahu dia di mana. Susah hati, fikir macam-macam terjadi kepada dia.

“Sekarang saya tahu dia sudah tak ada. Allah dah tentukan ajal dia. Saya reda. Doa saya dimakbulkan walaupun hanya menatap jasadnya, asalkan saya tahu dia di mana,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HPP di sini hari ini.
Menurut Salmah, dia pada mulanya tidak menyangka panggilan supaya hadir ke hospital malam tadi akan merungkai misteri kehilangan anaknya.
Katanya, ketika menerima berita itu, dia bersama dua cucunya masih berharap Shahir ditemui dalam keadaan hidup dan hanya menerima rawatan di hospital.
“Malam tadi kami ingat mungkin dia sakit saja. Ada semangat sikit sebab ingat sudah jumpa dia tapi apabila tahu dia sudah tiada, memang rasa tidak percaya.
“Dua anaknya yang masing-masing berusia 13 dan 15 tahun pun tidak menyangka perkara itu berlaku, mereka kata rasa seperti mimpi sahaja.
“Ketika melakukan proses pengecaman, saya dapati wajah Shahir tidak banyak berubah dan saya cam dia melalui tahi lalat di sebelah kiri mukanya yang sama seperti saya,” katanya.
Mengimbau hari-hari sebelum kehilangan Shahir, Salmah berkata, anaknya menunjukkan perubahan sikap dengan lebih mengambil berat terhadap keluarga.
“Kedua-dua cucu memang tinggal dengan mak cik selepas ibu bapa mereka bercerai dan Shahir sangat mengambil berat tentang anaknya,” katanya.
Terdahulu, jenazah Shahir dimandi dan dikafankan di HPP sebelum dibawa ke Masjid Jamek Ubudiah untuk disolatkan pukul 9.40 pagi.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gedung pukul 10.30 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Misteri kehilangan Shahir terungkai, ditemui sebagai mayat tak dituntut
Kes kehilangan Shahir selesai – Polis
Hidup atau mati, biarlah saya jumpa Shahir – Ibu mangsa
Media sebelum ini melaporkan, misteri kehilangan Shahir yang dilaporkan sejak 10 Jun lalu terungkai apabila mayat tidak dituntut di HPP disahkan mangsa selepas proses pengecaman dilakukan oleh ahli keluarga.
Polis turut mengesahkan siasatan kes berkenaan selesai dan mangsa meninggal akibat Sindrom Koronari Akut pukul 5.28 petang, 11 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















