SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu sah ditandingi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Najib Mustafa, pertembungan tiga penjuru itu setelah pihaknya berpuas hati dengan penyerahan borang penamaan bagi ketiga-tiga calon berkenaan.
“Bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya mengumumkan bahawa setakat tempoh penamaan calon, tiga kertas pencalonan telah diterima.
“Kertas pencalonan pertama diterima pada pukul 9.00 pagi daripada Mohamad Hanifah Abu Baker yang mewakili Parti Bersatu.
“Kertas pencalonan kedua diterima pada pukul 9.10 pagi daripada Datuk Ahmad Faez Abdul Razak yang mewakili Pakatan Harapan.
“Kertas pencalonan ketiga diterima pada pukul 9.13 pagi daripada Siti Nur Umaira Hasim yang mewakili Barisan Nasional,” katanya dalam pengumuman calon yang bertanding hari ini.
Bagi DUN Bukit Kepayang, pertembungan satu lawan satu direkodkan antara BN dan PH.
Mereka adalah Nicole Tan Lee Koon daripada DAP dan Lee Boon Shian daripada Gerakan yang mewakili PN.
Menarik di DUN Rahang apabila merekodkan pertembungan empat penjuru antara BN, PH, Bersatu dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Calon-calonnya adalah Yap Siok Moy daripada MCA, Siau Meow Kong (DAP), Tang Jay Son daripada Bersatu dan S Tinagaran daripada PSM.
Bagi DUN Mambau, Penolong Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Lee Kai Yet ditentang calon PN, Erik Michael daripada WAWASAN yang mewakili PN, dan Sarawanan Nagayah daripada Bersatu.
Turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru adalah DUN Seremban Jaya iaitu R. Thinalan (MIC), S Mugunthan (DAP) dan Mahendran Ramasamy daripada Urimai.
Dalam pada itu, Mohamad Najib berkata tiada borang pencalonan ditolak dan diterima oleh SPR. – MalaysiaGazette
















