SEREMBAN – Walaupun pertama kali dipilih sebagai calon pilihan raya, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak yakin pengalaman hampir tiga tahun mendampingi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu menjadi kelebihan untuknya memberi saingan kepada penyandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pencalonannya bukan sesuatu yang asing kerana beliau sebelum ini aktif membantu jentera parti dalam beberapa pilihan raya.
“Saya gembira dan teruja. Walaupun ini kali pertama saya bertanding tetapi ini bukan pilihan raya pertama yang saya sertai kerana sebelum ini saya banyak membantu PH membuat persiapan dan berkempen.
“Jadi bagi saya, pengalaman itu sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk menghadapi pertandingan kali ini,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Bandaraya Seremban hari ini.
Mengulas cabaran menentang penyandang DUN Labu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Hanifah Abu Baker, Ahmad Faez bersedia memberikan saingan terbaik berbekalkan gerak kerja yang telah dilaksanakan di kawasan itu sejak dua tahun lapan bulan lalu.
“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik kerana saya sudah turun padang di Labu selama dua tahun lapan bulan. Saya nampak sokongan rakyat semakin baik bukan sahaja di Labu malah di Negeri Sembilan hasil inisiatif kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan itu turut disokong penerimaan positif masyarakat terhadap pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat.
Pada PRN Negeri Sembilan, kerusi DUN Labu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez mewakili PH, penyandang Mohamad Hanifah dan calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hashim. – MalaysiaGazette
















