PORT DICKSON – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung menyaksikan saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini.
Pertandingan itu membabitkan penyandang yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran, calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M. Leevineshwaraan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon bebas.
Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nur Hazelin Maklin membuat pengumuman tersebut selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini hari ini.
Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.

Pada PRN 2023 menyaksikan Rajasekaran memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,996 undi.
Pada proses penamaan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir mengiringi calon-calon PN lain bersama Ketua Penerangan parti, Tan Sri Annuar Musa.
PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 menyaksikan PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN (14) dan PN (lima).
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sementara itu, DUN Sri Tanjung diwujudkan hasil daripada persempadanan semula SPR pada tahun 2018.
Ia dinamakan semula daripada kerusi asal Port Dickson dengan majoriti kawasan dikekalkan manakala sebahagian kecil dipisahkan untuk membentuk DUN Lukut. – MalaysiaGazette

















