DUN Seri Menanti turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (PH), penyandang Sufian Maradzi (BN) dan Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin (Bersatu).

KUALA PILAH – Tiga daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah disahkan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Manakala dua lagi kerusi membabitkan saingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nawal Mohamed Amin berkata, DUN Juasseh, Seri Menanti dan Senaling masing-masing menyaksikan pertandingan antara calon PH, BN dan Bersatu.

Katanya, DUN Pilah dan Johol pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan BN.

Di DUN Juasseh, calon PH, Mohd Aidil Abdullah akan berdepan Datuk Ismail Lasim daripada BN dan Mohd Zuhaimi Md Yusof daripada Bersatu.

Kerusi itu dijangka menjadi antara tumpuan pada PRN kali ini selepas mencatatkan majoriti paling tipis pada pilihan raya negeri 2023 apabila penyandang BN ketika itu.

Tiga penjuru di DUN Juasseh melibatkan calon PH, BN dan Bersatu.

Ketika itu Datin Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang merupakan isteri kepada mantan Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad menang dengan majoriti hanya 78 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Pada kali ini, BN mempertaruhkan Ismail yang berpindah dari DUN Senaling, manakala Bersatu meletakkan Mohd Zuhaimi selepas parti itu memutuskan bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan.

DUN Seri Menanti turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (PH), penyandang Sufian Maradzi (BN) dan Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin (Bersatu).

Di DUN Senaling pula, Mohd Hanis Mohd Alimin (PH) akan dicabar Mohamad Qayyum Abd Jalil (BN) dan Mohd Izaffi Istear Khan (Bersatu).

DUN Senaling

Sementara itu, DUN Pilah menyaksikan penyandang Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (PH) mempertahankan kerusinya dalam saingan satu lawan satu menentang calon BN, Lisa Mat Yassin.

Di DUN Johol pula, Mohd Zailan Mohd Munawar (PH) akan berdepan penyandang BN, Datuk Saiful Yazan Sulaiman.

Proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Kuala Pilah berlangsung lancar dengan semua kertas pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa sebarang bantahan.

Seawal pagi, penyokong parti politik mula memenuhi pekarangan pusat penamaan calon bagi mengiringi calon masing-masing.

Kem PH, khususnya Keadilan, antara yang paling menyerlah apabila hampir 500 penyokong hadir bersama beberapa pemimpin kanan parti dan anggota Kabinet bagi memberi sokongan kepada calon gabungan itu.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Jamawi Jaafar serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Pada PRN 2023, PH dan BN membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN dengan PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi manakala PN memperoleh lima kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast