JEMPOL – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol berlangsung lancar di sini hari ini.
Namun apa yang mencuri mencuri tumpuan, kelibat pemimpin utama politik yang dilihat memeriahkan situasi ketika hadir menyokong calon daripada parti masing-masing.
Antara menjadi kemunculan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang hadir mengiringi calon parti masing-masing, sekali gus menambah kehangatan suasana hari penamaan calon.
Turut kelihatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggamatkan suasana dalam kalangan penyokongnya.
Dalam perkembangan sama di kem Pakatan Harapan (PH), Ketua Wanita DAP yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjadi antara pemimpin yang hadir pagi tadi bagi mengiringi calon PH di DUN Bahau, Teo Kok Seong.
Tidak lama kemudian, Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hadir memberikan sokongan kepada empat calon PH yang bertanding di bawah Parlimen Jempol.
Semua calon tersebut masing-masing akan bertanding di kerusi DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau.
Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi daripada BN, PN dan PH menjadikan PPC Jempol antara lokasi yang paling mendapat perhatian media pada hari penamaan calon.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawalan ketat anggota keselamatan dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, di mana semua penyokong yang hadir patuh pada arahan keselamatan.
Hari penamaan calon hari ini menandakan bermulanya tempoh rasmi berkempen bagi PRN Negeri Sembilan sebelum pengundi membuat pilihan pada hari pengundian nanti..
SPR menetapkan undi awal pada 28 Julai ini manakala hari mengundi bagi PRN Negeri Sembilan ialah pada 1 Ogos 2026. – MalaysiaGazette
















