Calon BN N.32 Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli ketika hadir untuk menyerahkan borang pencalonan pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 18 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Meskipun turun selaku penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, namun calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli menyifatkan cabarannya mempertahankan kerusi itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana, katanya, beliau berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang hebat.

Bagaimanapun, ujarnya, beliau berlapang dada dan bersedia menyambut cabaran daripada mana-mana pihak pada Pililhan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini sesuai dengan proses demokrasi negara.

“Dari segi gerak kerja, memang kita sudah mula awal.

“Saya juga dengan kerjasama seluruh jentera BN daripada UMNO, MCA, MIC, serta Friends of BN seperti KIMMA dan PPP akan terus turun padang bagi memastikan sokongan pengundi-pengundi kita tak lari, ataupun berubah kepada parti lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon kesemua calon DUN di bawah Parlimen Port Dickson yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16, di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Pada PRN kali ini, Mohd Faizal akan cuba mempertahankan kerusi DUN Linggi dalam saingan tiga penjuru termasuk daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.

Sementara itu, ditanya berkenaan janji atau manifestonya kepada pengundi DUN Linggi, Mohd Faizal berkata, keutamaan beliau ketika ini bukan menabur janji, sebaliknya untuk terus kekal bekerja kuat, sekali gus memastikan kemenangan sekali lagi BN di DUN Linggi.

Berhubung pendekatan kempennya sepanjang PRN kali ini, Mohd Faizal berkata, program turun padang serta ceramah akan terus dilakukan bagi menarik seramai mungkin pengundi.

“Namun, kita juga akan terus berusaha untuk meraih undi-undi atas pagar kerana mereka adalah antara penentu kemenangan ataupun kekalahan sesebuah parti.

“Cuma harapan saya dalam kita berkempen sepanjang tempoh dua minggu ini, sudah pasti akan timbul pelbagai insiden tidak diingini yang kalau boleh kita elakkan.

“Kita berkempen secara sihat supaya tidak menimbulkan provokasi,” katanya.

DUN Linggi merupakan kubu kuat BN yang mana pada PRN 2023, Mohd Faizal memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 1,461 undi dalam persaingan satu lawan satu menentang calon PN-Bersatu, Zambri Mat Said.

PH tidak bertanding di kerusi tersebut pada 2023 berikutan pakatan pilihan raya dengan BN di bawah pembentukan Kerajaan Madani.

DUN Linggi mempunyai 20,677 pengundi berdaftar dengan komposisi 62 peratus Melayu, 17 peratus India, 16 peratus Cina dan lima peratus kaum lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast