JEMPOL– Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin mempertaruhkan hubungan sentimental dengan kawasan itu sebagai antara kekuatan utama kempennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, Jeram Padang bukan kawasan asing kerana ibunya dilahirkan dan dibesarkan di situ, malah sejak kecil beliau sering berulang-alik ke kawasan berkenaan sehingga memahami budaya, keperluan serta cabaran yang dihadapi masyarakat setempat.

“Hubungan itu menjadikan Jeram Padang sentiasa dekat di hati saya,” katanya dalam kenyataan media selepas selesai proses penamaan calon di sini, hari ini.

Manivanan yang mewakili PH turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan untuk membawa cabaran gabungan itu di kerusi berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera PH Jeram Padang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua petugas yang memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Mengimbas perjalanan kerjayanya, Manivanan berkata pengalaman sebagai guru, pensyarah dan peguam menjadi asas kepada pendekatan kepimpinannya yang lebih dekat dengan rakyat.

Katanya, pengalaman dalam bidang pendidikan dan perundangan membentuk prinsip untuk sentiasa mendengar, memahami serta mencari penyelesaian terhadap isu yang membelenggu masyarakat.

“Seorang wakil rakyat bukan sekadar membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri, tetapi perlu sentiasa turun padang, bekerja untuk rakyat dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perkhidmatan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penyertaannya dalam PRN bukan semata-mata untuk meraih kemenangan, sebaliknya membawa komitmen baharu ke arah pembangunan lebih inklusif.

Menurutnya, antara fokus yang akan diberikan ialah memperkukuhkan ekonomi tempatan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memperkasakan sektor pendidikan serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut menyeru pengundi Jeram Padang supaya menjadikan PRN kali ini sebagai platform menentukan hala tuju masa depan kawasan itu melalui kempen yang matang, berhemah dan berasaskan fakta.

Dengan slogan “Kita Bina Jeram Padang”, Manivanan menegaskan komitmennya untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan masyarakat, mendengar denyut nadi rakyat dan bekerja bersungguh-sungguh demi kemajuan Jeram Padang.

DUN Jeram Padang menyaksikan pertandingan empat penjuru pada PRN Negeri Sembilan membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).

PH mempertaruhkan bekas Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan untuk mencabar penyandang BN, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir, manakala PN meletakkan R. Sri Sanjeevan dan ASLI mencalonkan Dayana Dal daripada suku Semelai.

Jeram Padang merupakan kubu tradisi BN pernah diwakili MIC sebelum disandang UMNO.

Pada PRN 2023, Mohd. Zaidy mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 693 undi, menjadikannya antara kerusi marginal di Negeri Sembilan.

SPR menetapkan pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast