KUALA LUMPUR – Gabungan Nasionalis menggesa kerajaan menarik balik lesen operasi Lynas Rare Earths Ltd. sekiranya siasatan mendapati rantaian bekalan nadir bumi yang diproses di Malaysia digunakan untuk memperkukuh aset ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel dalam konflik di Palestin.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, gabungan itu kesal dan membantah sekeras-kerasnya pendedahan mengenai kontrak bernilai AS$96 juta (RM450 juta) selama empat tahun antara Lynas dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) bagi pembekalan oksida nadir bumi (REE) ringan dan berat dari fasiliti syarikat itu di Gebeng, Kuantan.
Menurut beliau, perjanjian tersebut disifatkan sebagai tamparan kepada dasar luar Malaysia yang selama ini konsisten mempertahankan hak dan kedaulatan rakyat Palestin.
“Amerika Syarikat merupakan sekutu utama Israel dan tulang belakang kepada kekuatan ketenteraannya. Lebih membimbangkan apabila bahan strategik seperti samarium oxide yang diproses di Malaysia dilaporkan menjadi komponen kritikal untuk misi ketenteraan Pentagon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Gabungan Nasionalis mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan termasuk membatalkan lesen operasi Lynas jika siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membuktikan bahan nadir bumi dari Malaysia digunakan untuk menyokong operasi ketenteraan yang menindas rakyat Palestin.
Selain itu, kerajaan juga diminta menghentikan apa yang disifatkan sebagai dilema dasar luar dengan tidak mengamalkan pendekatan dwistandard iaitu mengutuk tindakan Israel di pentas antarabangsa tetapi pada masa sama membenarkan fasiliti tempatan menyumbang kepada industri pertahanan kuasa besar.
Gabungan itu turut menggesa mekanisme kawalan eksport mineral strategik diwujudkan segera bagi memastikan reputasi Malaysia sebagai negara berkecuali dan memperjuangkan keadilan sejagat tidak terjejas.
Pada masa sama, beberapa kerajaan negeri yang mempunyai memorandum persefahaman (MoU) untuk membekalkan nadir bumi karbonat kepada Lynas turut diminta membatalkan perjanjian tersebut sekiranya terbukti bahan berkenaan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri senjata yang digunakan terhadap rakyat Palestin.
Mengulas potensi industri nadir bumi negara, Aminuddin berkata, Malaysia tidak perlu bergantung kepada pengaruh geopolitik AS atau China kerana memiliki sumber nadir bumi jenis ion adsorption clay (IAC) yang dianggarkan sebanyak 18.6 juta tan dengan nilai hampir RM800 bilion.
Katanya, sumber tersebut mempunyai kandungan radioaktif yang sangat rendah serta lebih mudah diproses berbanding beberapa rizab di luar negara.
“Malaysia perlu mempercepatkan perlombongan nadir bumi domestik secara menyeluruh melibatkan negeri-negeri yang mempunyai sumber berkenaan seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan pembinaan dua kilang pemprosesan nadir bumi milik Malaysia, masing-masing di Pantai Timur dan Pantai Barat bagi menukar nadir bumi karbonat kepada nadir bumi oksida untuk meningkatkan nilai tambah industri tempatan.
Menurutnya, negara juga mempunyai kepakaran teknikal mencukupi menerusi penyelidikan universiti tempatan seperti UMPSA, USM, UTP dan UMK yang mampu menyokong pembangunan industri hiliran berteknologi tinggi termasuk pembuatan supermagnet.
“Malaysia bertuah memiliki sumber asas yang besar dalam perlumbaan nadir bumi global. Kepimpinan negara perlu bertindak pantas, berani dan berdaulat dengan meletakkan maruah negara serta nilai kemanusiaan sejagat sebagai keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















