Tamim Dahari Abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis yang sebelum ini diburu polis selepas dipercayai melarikan diri ke Thailand direman selama dua hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian sosial.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naeilah Nikrul Tarmizi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Menurut beliau, suspek, Tamim Dahari Abdul Razak disiasat susulan dakwaan melakukan vandalisme terhadap soolam iaitu simbol suci agama Hindu di bekas Tapak Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Katanya, Jabatan Peguam Negara turut mengarahkan agar suspek didakwa atas kesalahan yang berkaitan.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya lapor The Star.

Terdahulu, Tamim dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9.40 pagi dengan menaiki van polis bagi permohonan reman.

Semalam media melaporkan, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas dipercayai melarikan diri ke negara jiran sejak beberapa bulan lalu.

Menurut polis, siasatan mendapati suspek memasuki semula Malaysia secara haram melalui Kelantan sebelum tampil menyerah diri.

Sebelum ini, polis melancarkan operasi mengesan suspek selepas menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa diugut menerusi Facebook.

Usaha mengesan suspek turut dijalankan di Kajang namun gagal sebelum polis mengesan dia dipercayai melarikan diri ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lalu.

Pada Mac lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan dan membawa pulang suspek yang dipercayai berada di negara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast