Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni orang ramai ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Pasir Panjang, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 19 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menganggap statusnya sebagai Menteri Besar sebagai kelebihan dalam persaingan merebut Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Apatah lagi, menurut Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, DUN Linggi diketahui merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

Malah, beliau menghormati setiap calon yang bertanding dan menyifatkan setiap daripada mereka mempunyai peluang yang terbuka untuk menang di kerusi berkenaan.

Namun, katanya, beliau menawarkan prestasi dan rekodnya selaku Menteri Besar selama lebih tiga tahun, serta agenda pembangunan yang dirancang di DUN Linggi untuk dinilai pengundi di kawasan itu.

“Saya berikan apa yang telah saya laksanakan di negeri ini dan pembangunan yang akan dilaksanakan untuk dinilai oleh pengundi di sini.

“Insya-Allah, ini atara yang saya harap dapat membantu meyakinkan pengundi di DUN Linggi,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di sekitar pekan Pasir Panjang, di sini hari ini.

Calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual selepas menyantuni orang ramai ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pekan Pasir Panjang, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 19 JULAI 2026.

Sementara itu, Aminuddin mengakui masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan rakyat yang mahu dilaksanakan di Negeri Sembilan, di sebalik pencapaian sepanjang lebih tiga tahun mentadbir negeri itu.

“Pastinya ada banyak lagi yang akan kita laksanakan dan banyak lagi yang perlu kita tambah baik dan kita pastikan negeri sembilan akan terus maju dan hebat pada masa depan.

“Apa yang telah terlaksana sebelum ini, Alhamdulilah…cuma saya tak rasa ia keterlaluan (terlalu banyak), tapi kita akan terus perhebat pada masa depan.

“Apa yang telah dirancang kita akan teruskan dan semoga ini akan berikan impak baik kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast