Tangkap layar klip video tular 3 wanita menunggang motosikal buat aksi superman di Jalan Bypass baru-baru ini

KUANTAN – Polis berjaya menahan tiga wanita yang dipercayai terlibat menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan-Gambang (Jalan Bypass) pada 16 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian disedari pihaknya susulan klip video aksi mereka menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 seperti ‘superman’ tular di media sosial.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, unit HMPV Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan menjalankan siasatan dan mengesan pemilik motosikal yang terlibat.

“Beberapa individu dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik Kuantan malam tadi dan mengaku terbabit dalam aksi berbahaya tersebut ketika soal siasat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, dua daripada mereka bekerja sebagai pembantu kedai manakala seorang lagi sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di daerah ini.

Katanya, kesemua wanita yang berusia lingkungan umur 18 tahun hingga 21 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut manakala motosikal mereka turut dirampas.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Jangan cari popilariti sehingga menggadaikan nyawa. Patuhi undang-undang dan jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast