KUANTAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan sasaran untuk mengenalpasti sekurang-kurangnya 60 pemain muda menerusi Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 yang akan menjadi pelapis baharu sukan bola sepak negara.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, proses pemilihan akan dilakukan bersama pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepanjang kejohanan berlangsung sehingga November depan.
“Kita ada pasukan pencari bakat untuk memastikan mereka dikenalpasti dengan menggunakan segala bentuk penilaian sama ada dari segi teknikal dan sebagainya berdasarkan spesifikasi sesuai yang ditetapkan FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang di sini hari ini.
Beliau berkata, LRK yang julung kali dianjurkan menerusi kerjasama erat di antara NFDP dan FAM merupakan pertandingan pembangunan akar umbi yang menghimpunkan pemain-pemain muda terbaik dari seluruh negara.
Kesemua perlawanan LRK 2026 berlangsung di AMD, Gambang dengan aksi pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad di mana ia telah pun bermula pada 6 dan 7 Jun lalu (Minggu 1 : Hari Perlawanan 1 dan 2) dan akan berakhir pada 7 dan 8 November 2026 (Minggu 11 : Hari Perlawanan 21 dan 22).

“Sepanjang liga berlangsung, kita mengenalpasti pemain yang boleh kita ketengahkan, angkat dengan lebih jauh dan dimasukkan dalam sistem.
“Pada akhirnya, matlamat kita adalah pemain-pemain ini dapat di jadikan atlet yang akan mewakili negara ke peringkat antabangsa,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, kemuncak saingan LRK 2026 akan diakhiri dengan Piala LRK 2026 yang akan berlangsung secara karnival selama 11 hari di AMD, Gambang, di sini bermula 28 November hingga 8 Disember 2026. – MalaysiaGazette
















