Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari

KUANTAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru syarikat swasta dan badan korporat membantu dalam bentuk dana bagi menjayakan program pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi.

Menurut Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari, ketika ini kerajaan hanya menyediakan peruntukan RM18 juta bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Jelasnya, peruntukan itu meliputi perbelanjaan teknikal, sains sukan, atlet, jurulatih, kelab bola sepak dan penganjuran liga oleh KBS dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sudah pasti, dana yang kita peruntukan ini adalah untuk mewujudkan ekosistem yang lebih baik, itu dulu (paling utama). Jumlah ini adalah untuk NFDP cungkil bakat-bakat baru.

“Berkaitan pembangunan bola sepak sehingga ke peringkat Piala Dunia dan sebagainya, sudah pasti ini adalah satu langkah penting ke arah itu. Namun, untuk memastikan kita ke arah itu (Piala Dunia), kita memerlukan dana yang lebih bagi pembangunan dan sebagainya.

“Sebab itu saya menyeru kepada pihak swasta, badan korporat untuk bersama-sama membantu kita dalam melaksanakan segala program yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Liga Remaja Kebangsaan  (LRK) 2026 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Soffian Hamzah; Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee.

Menerusi LRK 2026 yang julung kali diadakan di sini, sebanyak 34 pasukan dari seluruh negara mengambil bahagian bermula awal bulan ini hingga November depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast