Timbalan Ketua Penerangan PKR Juga Pengerusi Lembaga Rayuan Displin , G Manivanan

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin, bertekad mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkasakan masa depan golongan belia sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, Jeram Padang mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pelaburan baharu yang mampu merancakkan ekonomi tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Katanya, sekiranya diberi mandat, beliau akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menarik pelaburan yang mampu menjana pekerjaan berkualiti di kawasan itu.

“Selain menarik pelaburan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan juga perlu diperkasakan melalui latihan, akses pembiayaan, pemasaran dan pendigitalan perniagaan supaya ekonomi setempat terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Manivanan berkata, pembangunan belia tidak boleh dipinggirkan kerana ramai anak muda di Jeram Padang mempunyai potensi tetapi memerlukan peluang dan sokongan untuk membina kerjaya.

Antara inisiatif yang akan diberi tumpuan ialah memperluaskan penyertaan belia dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan keselamatan pekerjaan menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), pembangunan kemahiran digital, keusahawanan serta pembangunan bakat.

Malah, katanya, peluang kepada belia dan masyarakat luar bandar untuk menyertai program pembangunan ekonomi desa seperti Desa MAHA turut akan diperkasakan, melibatkan sektor pertanian moden, penternakan, akuakultur serta latihan pemasaran produk sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Usaha ini bukan sekadar membantu anak muda mendapatkan pekerjaan, malah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi masa depan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sebenar bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu memastikan rakyat menikmati pekerjaan yang stabil, pendapatan lebih baik serta peluang meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, komitmen itu menjadi asas kepada aspirasi beliau untuk membangunkan Jeram Padang sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast