PORT DICKSON – Sibuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang memasuki hari kedua langsung tidak menghalang calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran melawat keluarga yang baru kehilangan ahli keluarganya.
Apatah lagi sebagai seorang penyandang wakil rakyat, tanggungjawab beliau bukan hanya hadir ketika rakyat berada dalam keadaan gembira tetapi yang lebih penting adalah untuk terus bersama mereka ketika berdepan saat-saat sukar dan kehilangan.
Dr Rajasekaran berusaha untuk hadir dalam setiap urusan pengebumian serta menziarahi keluarga yang kehilangan insan tersayang di DUN itu sebagai tanda penghormatan dan sokongan moral kepada mereka yang sedang berduka.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga mendiang Puan Chua Ah Poh. Kehadiran saya hari ini adalah untuk memberi penghormatan terakhir dan memberi sokongan moral kepada keluarga yang ditinggalkan.
“Semoga seluruh ahli keluarga terus kuat dan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang,” tulisnya di media sosialnya hari ini.
PRN15 yang diadakan 2023 menyaksikan Dr Rajasekaran memenangi kerusi DUN Sri Tanjung dengan majoriti 3,996 undi.
Sebelum bergelar wakil rakyat, beliau memberi perkhidmatan sebagai doktor di kawasan itu selama 15 tahun.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 ini, Dr Rajasekaran akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon Bebas.
Sementara itu, Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.
Pada pilihan raya kali ini, seramai 19,590 pemilih berdaftar layak mengundi di kawasan itu.
Sementara itu, DUN Sri Tanjung diwujudkan hasil daripada persempadanan semula SPR pada tahun 2018.
Ia dinamakan semula daripada kerusi asal Port Dickson dengan majoriti kawasan dikekalkan, manakala sebahagian kecil dipisahkan untuk membentuk DUN Lukut. – MalaysiaGazette
















