KUALA LUMPUR – Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PKAM) mempersoalkan ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.
Pengasas dan presidennya, Prof. Dr. Santharasekaran Subramaniam berkata, siasatan SPRM seharusnya memberi tumpuan kepada aspek penyelewengan kewangan, penyalahgunaan kuasa dan tatacara kelulusan dokumen rasmi yang berpotensi mempunyai unsur rasuah.
Ia kerana, dakwa beliau, orang ramai mempersoalkan mengapa hanya empat individu persendirian dikenakan tindakan sedangkan jabatan serta kementerian yang terbabit dalam proses kelulusan pemindahan haiwan berkenaan tidak diambil tindakan.

“Agak mengelirukan, ada orang perseorangan terlibat, tetapi jabatan berkaitan tidak diambil tindakan.
“Pertanyaan orang ramai, peranan ketua jabatan adalah orang yang menandatangani segala dokumen berdasarkan akta-akta, antaranya Akta 716, Akta 686, Akta Pelupusan Aset Hidup, akta berkaitan CITES di bawah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), yang telah tertera dengan rasminya jika berlaku sebarang urusan pemindahan asst hidup.
“Manakala kementerian berkaitan juga perlu diambil tindakan kerana kuasa menteri yang melepaskan urusan pemindahan gajah-gajah tersebut juga diragui terdapatnya unsur rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, menurut beliau, ketua jabatan yang menandatangani dokumen rasmi serta pihak kementerian yang meluluskan proses tersebut juga wajar disiasat sekiranya terdapat unsur rasuah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, rakyat mengharapkan ketelusan terhadap pengurusan dokumen rasmi yang melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Zoo Taiping dan Night Safari serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Santharasekaran mendakwa, terdapat kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran undang-undang berkaitan pemuliharaan hidupan liar dan pelupusan aset hidup dalam urusan pemindahan tiga gajah tersebut.
Dakwa beliau, sekiranya dokumen rasmi disalahgunakan bagi meluluskan pemindahan itu, individu di peringkat pengurusan tertinggi yang menandatangani dokumen berkenaan juga perlu disiasat, bukan hanya pihak bawahan.
“Adakah perkara ini dikaji dengan telus dan beramanah oleh SPRM?,” soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan Pesuruhjaya SPRM yang menyentuh tempoh keberadaan tiga gajah berkenaan di Jepun selama 25 tahun.
“Kenyataan pesuruhjaya SPRM berkaitan keberadaan selama 25 tahun DAK di Jepun adalah betul, namun prosedur pemindahan oleh agensi dari Thailand dan Malaysia adalah tidak logi kerana ia bukannya kepakaran atau urusan fakta SPRM,” tambah beliau lagi.
Lantaran itu, SPRM perlu memberi fokus kepada fungsi utamanya iaitu menyiasat kesalahan rasuah, mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah dan melaksanakan langkah pencegahan.
Berikutan itu, beliau menggesa SPRM menjalankan semula siasatan secara lebih terperinci bagi memastikan semua pihak yang didapati terbabit, sama ada individu atau agensi, dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Langkah itu penting bagi memastikan kewibawaan SPRM terus terpelihara dan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan tidak terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette
















