SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memperkenalkan tawaran rasmi kepada rakyat Negeri Sembilan dalam masa terdekat yang memberi penekanan kepada pembaharuan pentadbiran serta kebajikan rakyat.
Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail berkata, tawaran tersebut dirangka berdasarkan maklum balas yang diperoleh dari jelajah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita telah turun ke kawasan bandar, bandar lama, kampung tradisi dan pelbagai lokasi bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah rakyat.
“Daripada situ kita merangka tawaran yang lebih menyeluruh untuk Negeri Sembilan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika berkempen di luar pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, hari ini.
Antara fokus utama ialah memperbaiki tadbir urus kerajaan negeri, memperkukuh pembangunan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memelihara adat Negeri Sembilan.

Tun Faisal berkata, Bersatu mahu menawarkan pilihan baharu kepada rakyat selepas negeri itu dipimpin oleh gabungan berbeza sejak beberapa penggal lalu.
“Kita mahu tampil sebagai alternatif yang membawa idea segar dan penyelesaian lebih berkesan kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















