SEREMBAN – Bersatu memutuskan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak diberi peluang menyertai rundingan pembahagian kerusi.

Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail berkata, Bersatu tidak mempunyai pilihan, selain merangka strategi sendiri selepas tidak dipanggil menyertai rundingan sehingga saat akhir.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan parti mengambil keputusan bertanding menggunakan lambang sendiri.

“Kita sebenarnya mahu bergerak bersama tetapi apabila tidak dipanggil berbincang sehingga saat akhir, kita terpaksa membuat keputusan sendiri.

“Apabila kita melihat jumlah kerusi yang ditandingi pihak lain, kita merasakan Bersatu perlu menawarkan pilihan yang lebih menyeluruh kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika berkempen di luar pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, hari ini.

Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail menyantuni pengundi ketika berkempen di luar pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut bukan bertujuan memecahkan undi pembangkang sebaliknya memastikan rakyat mempunyai alternatif yang jelas.

Tun Faisal turut menafikan dakwaan bahawa Bersatu mempunyai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)

“Kalau benar kita mahu bekerjasama dengan PH, tidak mungkin kita menawarkan jumlah calon yang ramai seperti sekarang.

“Tuduhan itu tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail menyantuni pengundi ketika berkempen di luar pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, Bersatu mahu dikenali sebagai parti yang sederhana, inklusif serta berpegang kepada prinsip integriti dalam menawarkan kepimpinan kepada rakyat.

“Pendekatan tersebut membezakan Bersatu daripada parti politik lain.

Menurutnya, Bersatu membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Kita bukan parti yang ekstrem. Kita mengambil pendekatan sederhana dan inklusif.

“Parti ini menerima penyertaan semua kaum serta memberi ruang kepada sesiapa yang mempunyai komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Katanya lagi, rekod pentadbiran Bersatu sebelum ini membuktikan parti tersebut mampu mengurus kerajaan dengan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat.

“Saya berharap rakyat memberi peluang kepada Bersatu kerana kita menawarkan politik yang lebih sederhana, demokratik dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast