JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Muhammad Zahin Zinal Abidin kesal terhadap dakwaan penggunaan beberapa aset kerajaan sebagai lokasi program kempen Barisan Nasional (BN) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa, tindakan menggunakan kemudahan milik kerajaan atau agensi kerajaan untuk aktiviti politik bukan sahaja mencetuskan persepsi tidak adil malah boleh menjejaskan prinsip padang permainan sama rata yang sepatutnya dinikmati oleh semua parti bertanding.
Antara lokasi yang didakwa digunakan bagi program kempen BN ialah Balai Raya Felda Palong 7, Anjung Selera Felda Palong 8 dan kawasan Felda Palong 12 dan 13.
“Saya secara peribadi tidak ada masalah bila tindakan mereka menggunakan bangunan kerajaan sebagai tempat berkempen dan berpolitik.
“Namun saya fikir rakan-rakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lagi arif berkenaan Akta 5 Pilihan Raya 1954 bahawa penggunaan bangunan kerajaan tidak dibenarkan ketika berkempen,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ujarn Muhammad Zahin tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk berkempen, tetapi semua calon perlu diberi layanan yang sama tanpa kelebihan menggunakan kemudahan kerajaan.
Tegasnya platform pilihan raya mesti berlangsung secara adil dan telus supaya rakyat dapat menilai dan memilih sebaiknya.
Walau bagaimanapun jika perbuatan tersebut jelas melanggar peraturan, maka maka Muhammad Zaihin berpendapat, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berwajib.
Kata calon daripada PH itu, tindakan berkenaan sekali gus dilihat mencemarkan semangat demokrasi dan menimbulkan persoalan mengenai keadilan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Muhammad Zahin berkata, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memantau dan mengambil serius setiap aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan aset kerajaan dan menjalankan siasatan sekiranya terdapat bukti bahawa garis panduan pilihan raya dilanggar.
Beliau turut menggesa semua parti politik menghormati semangat demokrasi dengan memisahkan program kerajaan daripada aktiviti kempen bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Dalam pada itu Muhammad Zahin berkata, proses kempen berjalan lancar di mana Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) di sekitar Felda Palong serta Bilik Gerakan Utama (BGU) yang terletak di Felda Palong 5 telah beroperasi sepanjang kempen berlangsung.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, DUN Palong juga menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang, Datuk Mustapha Nagoor (BN), Zahin Zinal Abidin (PH) dan Rebin Birham (Bersatu).
SPR menetapkan tarikh undi awal pada 28 Julai ini manakala hari mengundi ialah 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette
















